PRN Melaka: Calon Amanah akan diumumkan secara dalaman malam ini - Mahfuz

Abd Hadi Che Awang
November 4, 2021 17:53 MYT
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar mengesahkan bahawa pengumuman nama sembilan calon yang mewakili parti itu dalam PRN Melaka akan dibuat secara dalaman malam ini. - Gambar fail/Astro AWANI
YAN: Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mengesahkan bahawa pengumuman nama sembilan calon yang mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dibuat secara dalaman malam ini.
Menurutnya, pengumuman itu akan dilakukan sendiri oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu selain jentera parti dari seluruh negeri akan digerakkan ke Melaka dalam masa terdekat bagi membantu kempen calon Pakatan Harapan.
"(Seperti semua sedia maklum) kita telah pun dapat sembilan kerusi (untuk bertanding dalam PRN Melaka) dan (saya nak sahkan) malam ini YB Presiden Amanah, Mohamad Sabu, akan buat pengumuman calon secara dalaman kepada pimpinan Amanah di Melaka,
"(Semua) persiapan telah digerakkan, jentera daripada negeri pembantu telah mula turun untuk pastikan pilihan raya dapat berjalan lancar (dan kemenangan kembali kepada Pakatan Harapan)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di lokasi jambatan runtuh di Kampung Setul, Yan pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Mahfuz menzahirkan harapan agar beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PRN Melaka dapat ditambah baik khususnya dari segi kebenaran untuk berkempen.
"Nampaknya SOP yang diumumkan Menteri Kesihatan (adalah) SOP yang tidak munasabah, dia tak bagi kebenaran untuk kempen, kalau kempen kena denda. Sepatutnya SOP munasabah yang perlu digunakan adalah SOP (yang digunakan ketika) pilihan raya kecil di Slim dan PRK di Chini.
"Maknanya. kita boleh pergi ke rumah tapi hanya beberapa orang sahaja, tak boleh ikut ramai-ramai, contoh kalau pergi pasar, tak perlu (apabila) menteri turun ke pasar, jentera turun (sekali) ke pasar, orang (akan) ramai. Ini akan sebabkan berlaku keadaan yang tidak diingini," katanya lagi.
Terdahulu, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahary menyatakan Pakatan Harapan (PH) Melaka masih menggunakan formula 8-11-9, iaitu lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk DAP, sembilan untuk Amanah dan 11 untuk PKR.
Namun, jelasnya, senarai calon akan dimuktamadkan oleh Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh terdekat.
Selain itu, beliau berkata, PH juga akan membincangkan mengenai nasib dua daripada empat bekas ADUN yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sama ada mereka diterima atau tidak.
#PRN Melaka #Amanah #calon pilihan raya #Mahfuz Omar #Mohamad Sabu #pilihan raya negeri #Pakatan Harapan
;