PRN Melaka: Bukan sabotaj, tetapi rakyat mahu saya kembali - Ng Choon Koon
Shuhada Abdul Kadir
November 10, 2021 14:00 MYT
November 10, 2021 14:00 MYT
BEMBAN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Datuk Ng Choon Koon menegaskan, tindakannya bertanding bukan untuk menentang mana-mana parti atau membalas dendam terhadap Barisan Nasional (BN).
Beliau yang mempertaruhkan nasib sebagai calon Bebas di kerusi sama pada pilihan raya negeri Melaka yang akan berlangsung 20 Nov ini berkata, pertaruhannya kali ini selepas mengambil kira suara rakyat.
Katanya, rakyat mahukan beliau kembali berkhidmat di DUN itu, selain beliau sendiri melihat banyak peluang dan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan demi rakyat di kawasan itu.
“Saya tidak menentang mana-mana parti sama ada BN, Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan. Apa yang saya buat, saya hanya menawarkan diri sebagai pilihan kepada pengundi di DUN Bemban ini.
“Sebab, sebagai bekas ADUN, saya melihat banyak kerja yang belum diselesaikan dan masih banyak kerja yang boleh saya lakukan di DUN Bemban ini.
"Ia termasuk menjadikan Bemban sebagai sebuah bandar utama di daerah Jasin ini,” katanya ketika ditemui Astro Awani di sini, sambil mengesahkan beliau bukan lagi ahli MCA sejak 2018.
Pada PRN Melaka kali ini, Ng bakal berdepan saingan lima penjuru menentang Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri Dr Yadzil Yaakub, Pengerusi DAP Melaka Datuk Tey Kok Kiew (PH), Koh Chin Han (BN) dan seorang lagi calon Bebas Azmi Kamis.
Beliau memegang kerusi DUN itu selama satu penggal sebelum tewas apabila berpindah kerusi ke DUN Kesidang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Mengulas mengenai kewujudan Gagasan Bebas yang disertai 15 daripada 22 calon Bebas yang bertanding pada PRN kali ini, beliau menjelaskan, tidak berminat untuk menyertainya.
Ini kerana, katanya, calon Bebas tidak sepatutnya terikat dengan mana-mana gabungan kerana misi dan permasalahan di setiap kawasan DUN adalah berbeza-beza.
“Pada saya, calon Bebas itu (sepatutnya) bebas dan tak boleh ada apa-apa gabungan yang mana mereka mewujudkan satu kumpulan. Ia sama seperti mewujudkan parti. Jadi, tidak ada beza dengan parti-parti politik yang ada.
“Mungkin kumpulan ini mereka ada cita-cita dan matlamat sendiri, kerana bagi saya, jika kita bertanding atas tiket Bebas, setiap calon di DUN mempunyai manifesto tersendiri.
"Jika hendak gabungkan 15 calon Bebas ini, saya kurang yakin bagaimana manifesto yang dibuat itu dapat direalisasikan," tambahnya.
Menggunakan logo pokok sebagai simbolik ‘memayungi’ nasib rakyat di kawasan DUN berkenaan, Ng membawa tujuh fokus yang perlu diberi perhatian sekiranya diberi mandat oleh 18,573 pengundi di DUN itu.
Antaranya termasuk pembinaan 1,000 unit rumah mampu milik, membangunkan hab pendidikan serta memastikan segala perancangan projek oleh kerajaan pusat, terutamanya membabitkan isu banjir di DUN berkenaan, diselesaikan.