PRN Melaka: BN umum manifesto PRN Melaka Rabu ini - Ab Rauf
Fareez Azman
November 8, 2021 13:54 MYT
November 8, 2021 13:54 MYT
MASJID TANAH: Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjelaskan bahawa parti itu akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka secara maya pada Rabu depan.
Ujarnya, manifesto berkenaan akan meliputi cadangan terbaik untuk pembangunan dan manfaat rakyat di negeri itu.
Tambah calon N.02 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu lagi, pembaharuan di kawasan terbabit juga fokus utamanya dalam pilihan raya berkenaan.
"Manifesto akan dilancarkan secara maya pada 10 November depan, kita tunggu pengisiannya dan bagaimana kaedahnya.
"Sudah pasti melestarikan masyarakat Masjid Tanah sepanjang pengurusan kita (BN) (sekiranya) diberikan mandat oleh rakyat bagi melihat manifesto ini akan memberikan satu cadangan yang terbaik untuk negeri Melaka bukan sahaja rakyat Masjid Tanah tapi seluruh Melaka," jelasnya.
Mengulas mengenai pertembungannya bersama calon Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, ujar Ab Rauf, saingan lebih kepada parti dan bukannya figura tertentu.
"Saya sekali lagi ingin mengatakan saingan sengit antara calon tapi antara parti, sebuah parti membawa kelestarian rakyat dalam urusan kerajaannya dan sebuah parti membawa ideologi masing-masing.
"Ada dua perbezaan pentadbiran kerajaan, pertama apabila Barisan Nasional (BN) tidak dapat tubuhkan kerajaan pada 9 Mei 2018, kemudian kita ambil alih kerajaan negeri 9 Mac 2929, sudah pasti rakyat dapat rasakan perbezaan dua pentabdiran ini," jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di kediamannya di sini pada Isnin.
Terdahulu, SPR mengumumkan kerusi DUN N.02 Tanjung Bidara bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru dalam PRN Melaka kali ini.
Ia melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin; dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.