PRN Melaka: Bertanding di DUN? Mas Ermieyati serah pada pucuk pimpinan Bersatu
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 29, 2021 15:41 MYT
Oktober 29, 2021 15:41 MYT
MASJID TANAH: Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyerahkan kepada pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menentukan sama ada beliau akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.
Meskipun namanya disebut-sebut akan bertanding di salah satu DUN, namun, Mas Ermieyati memberitahu, buat masa ini, fokus beliau adalah pada tugasnya sebagai Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
"Setakat ini belum ada, itu mungkin permintaan akar umbi mungkin mereka tak suka dengan keadaan sekarang, saya tak tahu.
"Saya tak tahu, jadi apa pun saya difahamkan kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti dan saya rasa sudah jadi Ahli Parlimen itu pun banyak tugas yang digalas juga menjadi Timbalan Menteri di Parlimen dan Undang-Undang yang perlu banyak fokus diberi perhatian," jelasnya.
Menurut Mas Ermieyati, keutamaannya ketika ini juga adalah memastikan setiap Rang Undang-Undang (RUU) dibentangkan di Parlimen Malaysia berjalan lancar.
"Kalau kita tengok setiap hari di Parlimen Malaysia, banyak Rang Undang-Undang dibentangkan dan juga banyak perkara untuk kita lihat dan beri perhatian dibawah Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan dan pembangkang yang harus kita lakukan segera selain libat urus yang menuntut kepada komitmen saya yang membantu Menteri (Di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Seri Wan Junaidi," jelasnya lagi.
Mengulas lanjut mengenai persiapan Perikatan Nasional (PN), jelas Ermieyati, persediaan jentera pilihan raya telah dilakukan.
"Di bawah Perikatan Nasional (PN), pastinya Bersatu telah mengadakan (perbincangan) bersama Pas dan Gerakan… kita akan perkemaskan gerak kerja.
"Hari ini yang datang bukan parti PN sahaja, tapi dari pelbagai latar apabila ia berkaitan dengan membantu rakyat… (kerana itu) perpaduan diutamakan itu lebih penting. Jika berkecamuk siapa yang akan perjuangkan nasib mereka (rakyat)," katanya lagi.