PRN Melaka: 'Banyak tawaran, Selasa depan kami berempat buat keputusan' - Nor Azman

Fareez Azman
Oktober 25, 2021 08:22 MYT
Beliau yakin rakyat di DUN Pantai Kundor bijak memilih pemimpin yang telah berkhidmat untuk rakyat. - Astro AWANI
MELAKA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan menjelaskan bahawa beliau bersama tiga lagi rakan bekas ADUN akan mengumumkan keputusan menyertai mana-mana parti politik untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November depan.
Jelasnya, meskipun Pakatan Harapan (PH) tidak menerima bekas ADUN Pengkalan Batu sebagai calon PH, namun sudah ada tawaran buat mereka daripada parti politik lain.
"Saya melihat media sosial yang disampaikan Lim Kit Siang dan beberapa parti dalam Pakatan Harapan (PH) menolak Norhizam.
"Bunyinya macam menolak empat lagi bekas ADUN, saya dihubungi Norhizam mengatakan apa akan berlaku pada diri kita.
"Sebenarnya ada beberapa parti menghubungi kita, akan mengambil kita jika PH tidak mahu. Nanti dulu, InsyaAllah minggu depan akan buat keputusan, insyaAllah kami bersama-sama, tidak boleh seorang pun tertinggal," jelasnya.
Jelas Nor Azman, meskipun banyak tawaran diterima menjelang PRN Melaka yang dijadualkan November depan, ketika ini kesemua mereka sedang meneliti dan memperhalusi setiap tawaran sebelum membuat sebarang pengumuman.
"Jadi kami akan tengok di mana masa terdekat dan InsyaAllah kami akan berbincang hala tuju kami, macam mana tetap akan bertanding.
"Ada beberapa parti, mahu berjumpa dengan saya pada Isnin. Banyak tawaran datang bertanding kepada PRN.
"Tidak melibatkan PN, tidak maknanya parti lain yang menghubungi kami. Kita akan buat keputusan awal minggu depan, insyallah Selasa atau Rabu akan buat keputusan," jelasnya lagi.
Tidak salah buat keputusan
Mengulas lanjut mengenai kecaman terhadap tindakannya yang disifatkan 'tersalah langkah' oleh rata-rata netizen, jelas Nor Azman beliau tidak beranggapan begitu.
Sebaliknya, tindakan itu katanya demi perjuangan mereka berempat.
"Sebenarnya apa kami nak buat, tidak salah jalan.Cuma izin Allah benda ini berlaku, ada hikmah di sebaliknya tiada kepentingan diri saya dan kami berempat cuma nak perbetulkan.
"Kami tidak salah langkah, ada tiga exco, saya pun gaji berjalan macam biasa. Cuma kepentingan rakyat Melaka, kita tak menyesalkan apa yang telah dilakukan," ujarnya lagi.
Mengenai karier politiknya pula, kata bekas ADUN Pantai Kundor itu, beliau yakin rakyat di DUN itu bijak memilih pemimpin yang telah berkhidmat untuk rakyat.
"Wakil rakyat mesti berkhidmat selepas mereka menang DUN itu sampai abis, kita dah jalankan kerja, sekarang kerja saya senang.
"Bermakna terpulang kepada rakyat menilai sendiri, contoh macam kita tanam pokok mangga, sekarang kita nak petik buah makan sama-sama rakyat," jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian selepas ditemui Astro AWANI di kediamannya di Kampung Gelam, Tanjung Kling pada Isnin.
#politik melaka #Nor Azman Hassan #Pakatan Harapan #PRN Melaka
;