PRN Melaka bakal saksi pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru

Bernama
November 6, 2021 06:14 MYT
SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov. - Foto fail
MELAKA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru atau lebih di kesemua 28 kerusi yang dipertandingkan sekiranya calon disenarai diterima bertanding Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari penamaan calon, Isnin ini.
Senario ini susulan pengesahan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang mengumumkan calon masing-masing bertanding di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, pada PRN kali ini.
Pengumuman calon oleh ketiga-tiga parti yang dianggap dominan berkenaan sekali gus menolak kenyataan-kenyataan pemimpin parti terutamanya Bersatu, UMNO dan PAS yang berunding untuk tidak bertembung pada PRN ini.
Bersatu dari PN akan menentang BN yang diwakili UMNO di 13 kerusi iaitu Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Rembia, Durian Tunggal, Sungai Udang, Pantai Kundor, Paya Rumput, Pengkalan Batu, Ayer Molek, Telok Mas, Rim dan Sungai Rambai.
Sementara PAS yang bergabung dengan UMNO sebagai Muafakat Nasional (MN) sebagai satu gagasan tetapi belum berdaftar pula akan bertembung di enam kerusi iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.
PRN berkenaan turut 'diserikan' dengan penyertaan julung kali Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan esok, sebuah lagi parti iaitu Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), dijangka akan mengumumkan calon mereka bagi bertanding pada PRN berkenaan.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang diasaskan oleh Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Sayed Abdul Rahman tetapi belum diluluskan pendaftaran membuat keputusan mengambil jalan berkecuali walaupun sebelum ini berhasrat bertanding.
Bagi memastikan kejayaan mendapat mandat rakyat, kebanyakan parti juga turut mengambil pendekatan menampilkan calon muka baharu dengan BN sebanyak 86 peratus, PH (50 peratus) dan PN (kira-kira 82 peratus).
Parti-parti bertanding juga kebanyakannya menampilkan calon-calon yang mempunyai kelulusan akademik meyakinkan selain barisan calon muda dengan calon difahamkan termuda dari PH iaitu Ketua Srikandi PKR Melaka, Farzana Hayani Mohd Nasir yang berusia 21 tahun.
Pengumuman calon yang turut dilakukan secara maya bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) membendung COVID-19 menarik perhatian pelbagai pihak termasuk pemerhati politik khususnya di beberapa kerusi seperti Tanjung Bidara, Asahan, Lendu, Sungai Udang dan Pantai Kundor.
Kerusi Tanjung Bidara akan menyaksikan pertembungan sengit calon `heavyweight' membabitkan Naib Ketua Srikandi Bersatu Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Pengelola Cabang PKR Masjid Tanah, Zainal Hassan.
Sementara kerusi Asahan membabitkan pertembungan antara Ketua Pemuda UMNO Melaka Fairul Nizam Roslan mewakili BN dan calon PH iaitu bekas Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron yang juga bekas ADUN Sungai Udang serta calon PN, B. Dhanesh.
Di kerusi Lendu pula akan menyaksikan persaingan antara bekas Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang mewakili BN dengan Mejar (B) Abdullah Mahadi (PN) dan Mohamad Asri Ibrahim (PH), manakala di kerusi Sungai Udang, BN mempertaruhkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Mohamad Ali yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dijangka akan ditentang oleh Dr Mohd Aleef Yusof (PN) dan Hasmorni Tamby (PH).
Bagi kerusi Pantai Kundor, penyandangnya Datuk Nor Azman Hasan diberi peluang kali ini bertanding di bawah tiket PH berbanding sebelum ini di bawah BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan beliau akan ditentang calon BN Tuminah Kadi @Mohd Hasim dan Mohamad Ridzwan Mustafa (PN).
Selain itu terdapat lima kerusi yang dijangka akan menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan penyertaan parti Putra iaitu Gadek, Paya Rumput, Pengkalan Batu, Duyong dan Sungai Rambai.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata pertandingan tiga penjuru khususnya membabitkan UMNO dan Bersatu dilihat sebagai persaingan untuk membuktikan parti Melayu mana yang lebih diyakini rakyat.
"Senario pencalonan PRN Melaka yang membawa kepada pertandingan tiga penjuru juga mungkin akan berlarutan dalam PRU15 apabila tidak wujud pakatan pilihan raya khususnya antara UMNO dan Bersatu.
"Saya juga melihat persaingan akan lebih menjurus kepada tiga penjuru iaitu BN, PN dan PH. Parti lain dijangka tidak akan memberi saingan yang kuat, namun tidak mustahil juga ada pengundi akan memberikan undi protes atau bersikap berkecuali daripada memilih antara BN, PN dan PH dengan mengundi calon lain seperti Putra," katanya kepada Bernama.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.
Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.
-- BERNAMA
#PRN Melaka #pertandingan tiga penjuru #calon muka baharu #penamaan calon
;