PRN Melaka: Anwar cadang calon ketua menteri PH, BN, PN berdebat di TV, radio

Bernama
November 11, 2021 09:15 MYT
Anwar mencadangkan satu debat terbuka dianjurkan antara calon ketua menteri daripada PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) disiarkan melalui media rasmi kerajaan itu. - Gambar fail
MELAKA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik kesediaan kerajaan menimbang memberi ruang kepada calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk daripada pembangkang untuk berkempen menerusi saluran televisyen dan radio rasmi kerajaan.
Justeru Anwar mencadangkan satu debat terbuka dianjurkan antara calon ketua menteri daripada PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) disiarkan melalui media rasmi kerajaan itu.
"Saya yakin cadangan ini adalah wahana terbaik dalam melonjak nama Malaysia sebagai contoh negara demokrasi yang sihat dan matang," katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook hari ini.
Setakat ini, BN menamakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon ketua menteri manakala Adly Zahari mewakili PH dan PN belum membuat pengumuman rasmi mengenainya.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata kerajaan bersedia menimbang memberi ruang itu kerana memahami kesulitan dialami semua parti politik terutama calon baharu untuk berkempen dalam suasana norma baharu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka ketika itu.
-- BERNAMA
#PRN Melaka #Anwar Ibrahim #calon ketua menteri #debat terbuka