PRN Melaka: Ambil iktibar Sabah, kempen fizikal berpotensi cetus gelombang COVID-19 - Penganalisis

Hilmi Malik
Oktober 19, 2021 19:40 MYT
Menurut Shamsul Bahari, aktiviti berkempen secara fizikal dilihat mampu menjadi potensi besar untuk berlakunya penularan wabak COVID-19.
KUALA LUMPUR : Apa yang berlaku sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu sewajarnya dijadikan iktibar buat ahli politik.
Mahu atau tidak, PRN Melaka telah diputuskan untuk diadakan pada 20 November maka semua pihak perlu memberikan perhatian khusus terumanya bagi memastikan ia berjalan lancar dan selamat.
Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Shamsul Bahari Shamsudin berkata, gelombang COVID-19 tidak mustahil untuk terjadi sekiranya langkah pencegahan diabaikan.
Menurutnya, aktiviti berkempen secara fizikal dilihat berpotensi besar untuk menyebabkan berlakunya penularan wabak itu.
“Saya jangkakan kempen secara fizikal mempunyai risiko yang sangat tinggi apabila ada orang dari luar Melaka yang turut hadir kemudian mengadakan majlis untuk berkempen.
“Masing-masing akan membuka ruang dan peluang untuk berlakunya risiko pendedahan COVID-19,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau turut mengharapkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat meneliti secara rapi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengadakan PRN Melaka.
Sebaliknya kata Shamsul Bahari, pendekatan berkempen secara dalam talian adalah jauh lebih baik dalam situasi negara masih berada dalam risiko penularan wabak.
“Kita boleh jadikan PRN Melaka ini sebagai percubaan bagaimana untuk melihat proses pilihan raya secara maya.
“Saya berasakan ia tidak akan menjadi masalah kerana sebelum ini beberapa majlis kerajaan turut diadakan secara maya.
“Malah fasa persekolahan sudah hampIr dua tahun diadakan secara maya jadi mengapa tidak ahli politik ini cuba belajar bagaimana untuk berkempen secara dalam talian,” katanya lagi.
Pada 4 Okt lepas, SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah kerajaan negeri pimpinan BN hilang majoriti di DUN.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Okt lalu selepas Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam bersetuju membuat keputusan itu.
Ia susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
#PRN Sabah #PRN Melaka #SPR #Prof Madya Shamsul Bahari Shamsudin
;