PRN Melaka: Akmal Nasir anggap perang mulut Muhyiddin - Shahrir teladan tidak baik

Firdaus Azil
November 13, 2021 17:20 MYT
Pemimpin politik berpengalaman sepatutnya lebih matang dalam berkempen dan tidak menunjukkan keperibadian yang buruk, tegas Akmal Nasrullah Mohd Nasir. - Gambar Astro AWANI
JASIN: Politik ugut mengugut dan mencabar antara satu sama lain adalah budaya politik lapuk serta hanya akan membuat rakyat muak, tegas Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu berkata, pemimpin politik berpengalaman sepatutnya lebih matang dalam berkempen dan tidak menunjukkan keperibadian yang buruk, sehingga mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
Merujuk kepada perang mulut antara Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Akmal berkata, kedua-dua pemimpin itu
seharusnya menunjuk teladan yang baik terhadap generasi muda serta menitikberatkan soal rakyat.
“Jadi kalau ugut mengugut, ataupun bercerita soal nak tekan ‘button’ dan menumbangkan lagi mana-mana negeri untuk memanggil pilihan raya, saya mengharapkan tokoh-tokoh politik ini melihat kerangka yang lebih besar
“Kita berpolitik ini bukannya nak ugut-mengugut kerana yang susah nanti adalah pengundi. Harapan saya supaya para pemimpin politik tumpukan balik kepada isu-isu rakyat… apa yang sebenarnya orang Melaka mahukan,” katanya lagi.
Akmal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cabaran Shahrir terhadap Muhyiddin, untuk mengarahkan Ahli-Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik sokongan daripada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad.
BACA: PRN Melaka: 'Kalau saya bodoh dan jahat, Johor akan hadapi PRN macam Melaka' - Muhyiddin
Muhyiddin sewaktu berucap di Ceramah Umum PRN Melaka pada Rabu memberitahu, beliau boleh sahaja mengarahkan ADUN-ADUN Bersatu menarik sokongan sehingga membolehkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor seperti mana berlaku di Melaka, namun bekas Perdana Menteri itu lebih mementingkan keselamatan dan nyawa rakyat.
Shahrir dalam catatan di Facebooknya pula memberi maklum balas bahawa dua ADUN Bersatu (Datuk Osman Sapian dan Datuk Dr Sahruddin Jamal) tidak layak mengetuai jentera pentadbiran negeri dan kerana itu diserahkan kepada UMNO.
Di samping itu, Shahrir turut mencabar Muhyiddin untuk menarik semula sokongan selain memaklumkan, UMNO sentiasa bersedia.
Susulan cabaran itu, Muhyiddin menganggap Shahrir sebagai bodoh dan berniat jahat dan hanya mementingkan kuasa berbanding keselamatan serta nyawa rakyat.
Dalam pada itu Akmal berkata, beliau memahami tekanan yang dihadapi dua calon termuda Pakatan Harapan (PH) iaitu Farzana Hayani Mohd Nasir (DUN Sungai Rambai) dan Prasanth Kumar Brakasam (DUN Rim) terutamanya dari segi pengalaman.
Namun, katanya lagi, beliau mengharapkan agar pengundi di dua DUN berkenaan dapat memberi peluang kepada mereka berdua berdasarkan komitmen dan tawaran yang digariskan PH melalui Pelan Tindakan Maju bersama Harapan.
“Pengalaman saya ketika masuk ke pilihan raya umum saya tahu antara bebanan adalah soal pengalaman.
“Tetapi yang kita mengharapkan dan tawaran kita kepada para pengundi di DUN Rim dan Sungai Rambai adalah untuk membimbing dan beri peluang kepada anak muda ini dan bersama membina balik naratif yang baharu,” katanya lagi.
#PRN Melaka #Muhyiddin Yassin #shahrir samad #Akmal Nasrullah Mohd Nasir
;