PRN Melaka: Agihan kerusi dan senarai calon PH dimuktamadkan Selasa ini - Adly

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 23, 2021 14:38 MYT
ADLY: PH sememangnya terbuka untuk sesiapa yang menyokong kita dan sama ada boleh untuk menjadi calon itu memang (sedang) sedang diperbincangkan lagi. - Gambar fail
MELAKA: Agihan kerusi dan senarai calon dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dimuktamadkan selewat-lewatnya Selasa ini.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan dan rundingan di peringkat akhir sedang berjalan antara rakan parti.
“Setakat ini rundingan pengagihan kerusi hampir dimuktamadkan dan kita akan cuba memuktamadkan selewat-lewatnya Isnin atau Selasa ini.
“Sebab parti buat sekali (rundingan) kerusi dan juga calon, jadi kita yakin sebelum pertengahan minggu depan kita sudah boleh memutkamadkannya selepas rundingan lanjut dengan rakan-rakan PH,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas soal adakah pihaknya akan menerima Datuk Seri Idris Haron, Datuk Azman Hassan dan Datuk Noor Effandi Ahmad selepas Majlis Presiden PH memutuskan menolak Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai calon, katanya perkara itu masih dalam rundingan.
Jelasnya, beliau terbuka untuk ‘membuka ruang’ kepada mana-mana individu yang menyokong parti itu kerana apa sahaja faktor yang membawa kemenangan pada PRN nanti perlu diambil kira.
“PH sememangnya terbuka untuk sesiapa yang menyokong kita dan adakah (boleh) untuk menjadi calon itu memang (sedang) diteruskan lagi perbincangan kita di peringkat PH serta kita melihat aspek ‘winnable candidate’ serta beberapa aspek lain.
“Setakat ini permohonan rasmi belum ada dan semua pandangan kita ambil kira bukan setakat (soal) tiga orang ini, tetapi kepada parti komponen untuk memastikan muafakat bersama dalam hadapi pilihan raya,” tambahnya.
Mengulas lanjut katanya, gabungan PH juga meletakkan calon di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Amanah akan bertanding sekurang-kurangnya lapan kerusi.
Katanya, dengan muafakat yang dimiliki PH selain strategi kedudukan parti masing-masing, beliau yakin kata putus akan dapat dibuat segera sekaligus memenangi PRN November ini.
#PRN Melaka #Pakatan Harapan #Adly Zahari #calon PRN
;