PRN Melaka: 24 pusat pengundian awal akan dibuka- SPR
Bernama
November 11, 2021 19:28 MYT
November 11, 2021 19:28 MYT
MELAKA: Sebanyak 24 Pusat Pengundian Awal (PPA) akan dibuka bagi proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 16 Nov ini.
Jurucakap Ibu Pejabat Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) berkata empat Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak terlibat dalam proses pengundian awal iaitu DUN Tanjung Bidara, Pengkalan Batu, Duyong dan Serkam.
Katanya, proses pengundian awal bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang di balai polis di setiap DUN dan di kem tentera.
''Semua pengundi pos (pula) diingatkan supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum 5 petang pada hari mengundi 20 Nov (Sabtu).
Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial," katanya ketika dihubungi Bernama.
SPR sebelum ini mengumumkan sebanyak 7,601 kertas undi pos telah dikeluarkan kepada pengundi yang layak mengundi secara pos bagi PRN Melaka, dengan jumlah tersebut meliputi 6,871 kategori Borang 1A membabitkan petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media.
Sebanyak 511 kertas undi pos bagi kategori Borang 1B dikeluarkan membabitkan warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan 113 kategori Borang 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) serta 106 Pengundi Tidak Hadir (PTH) luar negara.
Kertas undi pos berkenaan dikeluarkan mengikut peruntukan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15.
SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt, selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.
-- BERNAMA