PRN Melaka: 10,191 anggota tentera tunai tanggungjawab mengundi awal
Fareez Azman
November 16, 2021 10:21 MYT
November 16, 2021 10:21 MYT
SUNGAI UDANG: Seramai 10,191 pegawai, anggota dan keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menunaikan tanggungjawab mereka di tujuh Pusat Pengundian Awal (PPA) di Kem Terendak pada Selasa.
Menurut Panglima Tiga Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, kesemua anggota yang layak mengundi dipecahkan kepada empat kumpulan iaitu pada jam 8 hingga 10 pagi, 10 pagi hingga 12 tengah hari, 12 tengah hari hingga 2 petang, dan 2 hingga 4 petang.
"Untuk warga tentera di Melaka, tujuh Pusat Pengundian Awal (PPA) dibuka, kekuatan kita antara anggota dan pasangan seramai 10,191 orang.
"Pada masa sama, ada mereka yang telah tamat perkhidmatan, ada dalam proses pertukaran, mereka kembali ke sini untuk mengundi.
"Tadi saya berjumpa anggota telah pencen dan masih mengundi di sini datang dari Terengganu masih mengundi di sini.
"Saya ucapkan terima kasih kepada warga tentera yang datang dari jauh untuk melaksanakan tanggungjawab ini," jelasnya.
Tambah Muhammad Fauzi, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat memberikan rasa keyakinan serta selamat anggota tentera dalam menunaikan tanggungjawab mereka.
Bagi proses pengundian di Kem Terendak pula, setiap anggota dipecahkan mengikut unit masing-masing sebelum dibenarkan memasuki PPA.
"Kalau kita lihat proses hari ini, segalanya dijalankan berdasarkan SOP. Saya tahu di luar sana seluruh rakyat Malaysia memerhatikan.
"Ini sejarah bagi negeri Melaka dan saya sendiri dan anggota tentera yang diberi penghormatan untuk menunaikan proses demokrasi.
"Saya ingin memberi jaminan kepada rakan-rakan yang akan mengundi 20 November depan, jangan gusar jangan bimbang.
"Alhamdulilah proses kita laksanakan hari ini testimoni pematuhan SOP yang saya rasa ketat, turunlah beramai-ramai laksanakan tugas sebagai warganegara, pematuhan SOP dilaksanakan sebaiknya dalam pusat mengundi," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di PPA Sekolah Kebangsaan Kem Terendak 2, di sini, pada Selasa.
Terdahulu, pemerhatian Astro AWANI mendapati ratusan anggota tentera telah mula beratur seawal jam 7 pagi.
PPA pula dibuka tepat jam 8 pagi dikawal petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut hadir calon-calon yang bertanding di bawah N.11 DUN Sungai Udang. Antaranya calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Mohamad Ali Mohamad dan calon Pakatan Harapan (PH) Hasmorni Tamby.