PRN: Media sosial bukan penentu corak pilihan anak muda

Bernama
Ogos 10, 2023 04:45 MYT
Nurul Amal berkata golongan muda diyakini sudah cukup bijak dalam menilai sesuatu maklumat dan menentukan pilihan mereka pada hari pengundian Sabtu ini. - Foto fail/BERNAMA
BANDAR BAHARU: Platform media sosial yang dijadikan sebagai sumber utama untuk golongan muda mendapatkan maklumat dilihat tidak menentukan kecenderungan golongan itu dalam memilih sesebuah parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata golongan muda diyakini sudah cukup bijak dalam menilai sesuatu maklumat dan menentukan pilihan mereka pada hari pengundian Sabtu ini.
"Saya percaya orang muda di luar sana bukan media sosial menjadi satu penanda aras untuk mereka memilih pada PRN kali ini," katanya ketika ditemui pemberita semasa berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baharu Nuraini Yusoff di Sungai Batu, Mahang, di sini pada Khamis.
Beliau juga percaya anak muda tidak mudah terpengaruh dengan sentimen kebencian dan provokasi yang dimainkan pihak tertentu dalam tempoh kempen ini.
Menyentuh mengenai kempen Nuraini yang menjadi satu-satunya wakil Puteri UMNO yang bertanding pada PRN di enam negeri, Nurul Amal berkata terdapat gelombang sokongan positif daripada pengundi di kawasan itu terhadap calon BN.
Nuraini yang juga Ketua Puteri UMNO Kedah akan berdepan pertembungan satu lawan satu dengan bekas Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia Dr Muhammad Suffian Yusof yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
-- BERNAMA
#pilihan raya negeri #Puteri UMNO #sentimen kebencian #media sosial
;