PRN: Masyarakat Siam Kedah tunai tanggungjawab mengundi

Bernama
Ogos 12, 2023 18:49 MYT
Pengundi masyarakat Siam, Kuat Din Shai,79 (kiri) bersama jirannya I From Eput, 67 (kanan) dan Wandy Ai Yem, 28, (tengah) menunjukkan jari yang dicelup dakwat selepas mengundi bagi di SK Naka hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA NERANG: Sebagaimana rakyat Malaysia lain yang layak memilih, masyarakat Siam di Kedah hari ini turut bersama-sama keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab demokrasi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Walaupun berkerusi roda akibat jatuh tangga tiga bulan lepas, Sathaphorn, 50, yang merupakan pengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu ternyata bersemangat dan sabar menunggu giliran untuk mengundi.
Sathaphorn yang dibawa jirannya Cha Trie, 40, ke pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Naka berkata beliau mahu memastikan undinya dikira bagi memilih pemimpin berwibawa yang mampu membantu rakyat di kawasan itu.
"Saya tidak pernah ponteng mengundi dan hari ini dibawa oleh jiran ke pusat mengundi menggunakan motosikal sebab kaki kanan patah selepas terjatuh semasa bekerja di Kuala Lumpur.
"Hari pengundian penting sebab nak pilih pemimpin yang bertanggungjawab untuk negeri ini, sebab itu saya datang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Senada dengannya, Nongnut Bonkeaw, 49, dari Kampung Baru Naka berkata menjadi hak warganegara Malaysia untuk memilih pemimpin yang boleh mentadbir dengan baik sepanjang tempoh lima tahun berkhidmat bagi masyarakat setempat.
Nongnut berkata satu undi daripadanya mampu menjadi penentu masa depan anak cucunya terutama bagi memastikan masyarakat Siam berjaya dalam bidang pendidikan.
Seramai 28,586 orang pemilih layak mengundi bagi DUN Pedu yang membabitkan 51 saluran mengundi.
-- BERNAMA
#PRN #PRN Kedah #masyarakat Siam #mengundi
;