PRN: Manifesto PN bukan 'copy paste', kita ada pengalaman - Muhyiddin

Fareez Azman
Ogos 4, 2023 23:12 MYT
Jelas Muhyiddin, tawaran PN itu realistik dan gabungan itu komited untuk membawa perubahan di Selangor jika diberi mandat pada 12 Ogos depan. - Astro AWANI
SHAH ALAM: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menempelak dakwaan Menteri Besar Selangor bahawa PN berkemungkinan meniru manifesto Kerajaan Perpaduan di negeri itu.
Tegas Muhyiddin, sebaliknya PN tampil dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion, berbanding Pakatan Harapan (PH).
"Saya tak baca apa tawaran sebelah sana (PH-BN), nak copy paste apa?. Kita cukup pengalaman, tak payah orang buat, kita ikut buat. Kita ada pengalaman (mentadbir) peringkat persekutuan, negeri, jadi tak payah diajar.
"Itu asas kukuh, saya baca Menteri Besar Selangor kata saya akan tiru. Ini bukan tiru, bukan apa. Saya patut tanya, ada dia (Amirudin) buat RM2 billion pakej rangsangan sama? Tak sama," tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini, yang mendakwa tidak menolak kemungkinan manifesto PH akan 'disalin tampal' oleh PN.
Mengulas lanjut, jelas Muhyiddin, tawaran yang diberikan PN itu realistik dan gabungan itu komited untuk membawa perubahan di negeri Selangor sekiranya diberi mandat pada 12 Ogos depan.
"Bagaimana saya sebutkan, komitmen ini kita buat secara bersungguh-sungguh. Kita tak buat janji kosong dan untuk pastikan segala apa dalam buku tawaran, kita bentuk satu jawatankausa yang akan memerhati segala yang kita nyatakan itu dilaksanakan," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan tawaran Perikatan Nasional Selangor di Shah Alam pada Jumaat.
#PRN #Manifesto #Muhyiddin Yassin #Perikatan Nasional #PN #Amirudin Shari
;