PRN: Mahfuz paling sesuai bertanding di kubu DAP - Sanusi

Abd Hadi Che Awang
Februari 16, 2023 14:24 MYT
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (kiri) menyifatkan Datuk Mahfuz Omar paling sesuai bertanding di dua kubu kuat DAP iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga dan Kota Darul Aman pada PRN akan datang. - Gambar Astro AWANI
SIK: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak menunggu lama menjawab cabaran dikemukakan Datuk Mahfuz Omar yang menggesa beliau bertanding di dua kubu DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah tidak lama lagi.
Menurut Menteri Besar Kedah itu, individu yang paling sesuai bertanding di dua kubu kuat DAP iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga dan Kota Darul Aman pada PRN akan datang ialah Mahfuz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, bukannya beliau.
Ini adalah kerana, tegas Muhammad Sanusi, Mahfuz dilihat hanya mendapat sokongan daripada pengundi Cina selain ditolak majoriti pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Pokok Sena.
Dalam masa sama, jelasnya, sebagai anak jati Sungai Pau, Sik yang berada dibawah DUN Jeneri, dirinya lebih selesa untuk bertanding dan mempertahankan kerusi berkenaan.
"Saya sudah ada DUN saya (iaitu) DUN Jeneri dan saya selesa di situ, rumah (saya) di situ, adik beradik saya (ramai) di situ, kampung saya di situ… dia (Mahfuz) saya tidak tahu kampung di mana, adik beradik dia ada (ramai di DUN) dimana.
"(Kalau cabar saya bertanding di Derga dan Kota Darul Aman), saya rasa dia (lagi sesuai) bertanding di situ… Mahfuz sesuai kerana akhir-akhir ini (dia) bergantung kepada pengundi Cina untuk menang, kalau orang Cina tidak sokong dia, dia tidak menang,
"Wajar untuk dia (bertanding di) Kota Darul Aman atau Derga, dia kena bertanding situ kalau dia nak jadi ADUN, harapan nak jadi wakil rakyat (ada semula selepas kalah kerusi Parlimen Pokok Sena), (jadi dia) kena bertanding di situ, kerana dia bergantung kepada undi Cina, (pengundi) Melayu tak sokong dia," jelasnya.
Muhammad Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Geran Tanah dan Perasmian Kampung Sejahtera di Mukim Teloi, di sini, pada Khamis.
Terdahulu, Muhammad Sanusi dicabar untuk meninggalkan kerusi DUN Jeneri dan bertanding di dua kubu kuat DAP iaitu di Derga atau Kota Darul Aman pada PRN akan datang.
Menurut Mahfuz, tindakan itu adalah bagi membuktikan sokongan daripada rakyat negeri Kedah termasuk di kawasan-kawasan yang dianggap sukar untuk dimenangi.
#PRN #Mahfuz Omar #Muhammad Sanusi Md Nor #kubu DAP
;