PRN: Mahfuz cabar Sanusi bertanding di DUN Derga atau Kota Darul Aman
Abd Hadi Che Awang
Februari 16, 2023 12:01 MYT
Februari 16, 2023 12:01 MYT
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dicabar untuk meninggalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri dan bertanding di dua kubu kuat DAP iaitu di Derga atau Kota Darul Aman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar, tindakan itu adalah bagi membuktikan sokongan daripada rakyat negeri Kedah termasuk di kawasan-kawasan yang dianggap sukar untuk dimenangi.
Beliau turut memberikan contoh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tetap dipilih rakyat atas kalibernya sebagai seorang pemimpin meskipun bertanding di kerusi Parlimen yang berlainan seperti Permatang Pauh, Port Dickson dan Tambun.
"Jadi Sanusi yang dianggap (sebagai) hero Melayu (dalam kalangan rakyat Kedah), (dia juga) kata DAP komunis dan sebagainya, elok dia meninggalkan DUN dia sekarang ini (iaitu DUN Jeneri) untuk bertanding di DUN Derga dan DUN Kota Darul Aman.
“(Tindakan itu) untuk menyelamatkan (orang) Melayu di dua DUN itu… itulah sebaiknya untuk beliau tunjukkan dirinya berjiwa Melayu," katanya.
Mahfuz berkata demikian ketika ditemui media di Ibu Pejabat Pakatan Harapan (PH) Kedah, di sini, pada Khamis.
Ditanya mengenai potensi beliau untuk bertanding di kerusi DUN dalam PRN akan datang, Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) memaklumkan, senarai calon terutama dari parti itu telahpun diputuskan sebelum ini sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengagihan membabitkan kerusi Parlimen dan DUN berkenaan juga, jelasnya, akan mengetengahkan pelapis-pelapis dalam usaha membina bakat kepimpinan.
Minggu lalu, Muhammad Sanusi mengalu-alukan Mahfuz untuk bertanding di peringkat DUN dalam PRN selepas tewas pada PRU15 di kerusi Parlimen Pokok Sena.
Muhammad Sanusi juga secara berseloroh menamakan beberapa kawasan DUN yang sesuai ditandingi Mahfuz termasuk Derga, Alor Mengkudu dan Bukit Lada.
Untuk rekod, Perikatan Nasional (PN) memiliki komposisi kerusi tertinggi di DUN Kedah dengan 21 kerusi dengan Pas mempunyai 15 kerusi diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan enam kerusi.
PH pula memiliki 10 kerusi DUN, Parti Pejuang Tanah Air (tiga kerusi), Barisan Nasional (dua kerusi) dan Bebas (satu kerusi).