PRN: Lupakan sengketa lama, ahli UMNO diminta sokong DAP - Noor Hariri

Hasimi Muhamad
Julai 20, 2023 15:17 MYT
Noor Hariri berkata, sokongan tersebut wajar diterjemahkan walaupun calon terbabit adalah daripada parti DAP kerana mereka juga sebahagian daripada penyokong kerajaan pusat - Gambar UMNO
KUALA LUMPUR: Ahli UMNO perlu menyokong Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini dan bergerak secara bersama dalam dinamika politik baharu.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Noor Hariri Mohd. Nor berkata, sokongan tersebut wajar diterjemahkan walaupun calon terbabit adalah daripada parti DAP kerana mereka juga sebahagian daripada penyokong kerajaan pusat.
"Ahli-ahli UMNO perlu melupakan sengketa lama dengan PH terutama DAP bagi memastikan UMNO terus berada dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan negara kembali melalui kenaikan ekonomi dan pelaburan negara," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Mengulas lanjut, Noor Hariri berkata majoriti akar umbi UMNO ketika ini kekal menyokong parti.
Begitupun, beliau tidak menafikan ada segelintir yang tidak setia, telah beralih kepada Perikatan Nasional (PN) kerana termakan hasutan daripada pihak lawan.
"Sikap mereka ini ibarat kemuncup di dalam seluar dalam, yang sentiasa mencari salah UMNO walaupun sebaik mana yang telah kita buat," jelasnya.
Beliau menegaskan disiplin parti perlu diutamakan dan sebarang keputusan yang dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perlu dipatuhi oleh semua ahli demi kebaikan rakyat dan parti.
Dalam masa sama, Noor Hariri berkata kerjasama UMNO dan PH dibuat demi menyelamatkan negara daripada ketidaktentuan politik.
"Kita jangan termakan dengan naratif jahat daripada pembangkang yang seolah-olah mengambarkan kerjasama ini hanya untuk membebaskan Datuk Seri Najib Razak.
"UMNO sebuah parti yang daripada dulu tidak sesekali mencairkan perjuangannya. UMNO menghargai rakan-rakan politik yang lebih jujur dalam hubungan," ujarnya.
UMNO, katanya kekal dengan prinsip perjuangan iaitu mempertahankan agama Islam, Raja, bangsa dan bahasa Melayu dan pada masa sama tidak sesekali mengkhianati kepercayaan yang diberikan PH dalam membentuk kerajaan.
"Sebagaimana ucapan Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke yang menyatakan DAP mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, Raja-Raja Melayu, bangsa dan bahasa Melayu, UMNO kekal bersahabat bersama mereka," katanya.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir meminta semua pihak agar menunggu PRN di enam negeri susulan dakwaan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa ramai pemimpin dan ahli akar umbi UMNO akan memberi kemenangan kepada PN.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, UMNO yakin terhadap usaha parti itu untuk menstabilkan negara dan meneruskan khidmat kepada rakyat.
Sementara pada Mei lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengundi UMNO perlu memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan pada PRN tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.
Seruan itu turut disambut oleh pemimpin DAP mahu agar ahli dan penyokong DAP mengetepikan perbezaan dan memberi sokongan dan undi kepada calon UMNO.
#pilihan raya negeri #Perikatan Nasional #Barisan Nasional #DAP