PRN: Khairuddin nafi bakal calon MB Terengganu

Sinar Harian
Jun 25, 2023 11:45 MYT
KHAIRUDDIN: Untuk diri saya, saya menyatakan bahawa untuk tidak bertanding dalam PRN terdekat ini, Insya-Allah. -Gambar fail/Bernama
KUALA TERENGGANU: Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali menyatakan hasrat untuk tidak bertanding mana-mana kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini sekali gus menolak desas-desus bahawa beliau merupakan calon Menteri Besar Terengganu dari BN.
Menurutnya, fokus utama beliau pada pilihan raya kali ini adalah untuk membantu calon UMNO dan BN bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti itu.
"Untuk diri saya, saya menyatakan bahawa untuk tidak bertanding dalam PRN terdekat ini, Insya-Allah.
"Walaupun ada disebarkan berita dalam akhbar tentang bakal MB dan sebagainya, perkara itu tidak berbangkit kerana saya belum tentu lagi bertanding dan saya tidak berhasrat ingin bertanding dalam PRN yang terdekat ini.
"Sebaliknya fokus utama saya adalah untuk kekal membantu UMNO untuk menang di Terengganu serta negeri-negeri yang lain.
"Ini adalah pilihan politik (tidak mahu bertanding) dan biasa bagi orang politik, mahu partinya menang dalam pilihan raya," katanya melalui klip video yang dimuat naik menerusi aplikasi Tik Tok pada malam Jumaat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Mohd Khairuddin yang ketika itu bertanding atas tiket Pas memenangi kerusi Parlimen Kuala Nerus dengan mendapat majoriti 8,447 undi menewaskan calon BN, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad.
Bagaimanapun, setelah mengumumkan berhenti daripada Pas, Khairuddin yang kembali bertanding atas tiket UMNO pada PRU15 lalu gagal mengekalkan kerusi yang disandang setelah tewas kepada calon Pas, Datuk Dr Alias Razak dengan majoriti 29,765 undi.
Sebelum ini, nama Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu disebut-sebut akan bertanding mewakili BN pada PRN Terengganu dan menjadi calon Menteri Besar.
Dua lagi nama bekas jemaah menteri yang dikatakan akan bertanding ialah bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Parlimen Kemaman) dan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari (Parlimen Hulu Terengganu).
Namun, setakat ini, Ahmad Shabery telah mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam PRN kali ini. -Sinar Harian
#Mohd Khairuddin Aman Razali #calon Menteri Besar Terengganu #tidak bertanding PRN #Ahmad Shabery Cheek
;