PRN: Kerusi Lenggeng milik Amanah bukan BN
Sinar Harian
Julai 16, 2023 09:33 MYT
Julai 16, 2023 09:33 MYT
SEREMBAN: Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan menegaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng milik parti itu, bukannya Barisan Nasional (BN).
Pengerusinya, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berkata, ini kerana Pakatan Harapan (PH) dan BN telah bersetuju yang prinsip pembahagian kerusi dibuat secara status quo.
Menurutnya, jika ada perubahan sekali pun ia semestinya diputuskan dalam Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan dan kemudian akan dimaklumkan kepada ketua setiap parti.
"Jadi buat masa ini kita tetap dengan pendirian yang Amanah akan bertanding kerusi DUN Lenggeng kerana secara prinsipnya semua parti telah bersetuju pembahagian kerusi dibuat secara status quo.
"Saya pun dah rujuk dengan Presiden Amanah, Datuk Mohamad Sabu dan beliau turut mengesahkan yang Amanah Negeri Sembilan akan bertanding mempertahankan tiga kerusi yang kita menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu DUN Lenggeng, Kuala Klawang dan Paroi," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Malah katanya, parti juga telah menamakan calon di tiga DUN berkenaan yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Beliau turut meluahkan rasa kesal dengan pengumuman yang dibuat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat keputusan memberikan kerusi itu kepada UMNO.
"Bagi saya itu kenyataan provokasi dan boleh mengundang persepsi tidak baik terhadap PH dan BN yang seolah-olah menunjukkan kita berpecah-belah. Semestinya ia akan diambil kesempatan oleh pihak lawan.
"Selagi bukan Perdana Menteri yang umumkan, saya tidak akan percaya yang kerusi Lenggeng diberi kepada UMNO," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Amanah Negeri Sembilan bertanding di tiga kerusi DUN termasuk Lenggeng selepas diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Amanah.
Pada Sabtu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Bahagian Angkat Pilihan Raya Negeri Sembilan di Kuala Pilah berkata, BN Negeri Sembilan akan bertanding di 17 kerusi DUN termasuk satu kerusi tambahan di Lenggeng.
Katanya, 16 kerusi berkenaan adalah kerusi yang dimenangi BN pada PRU14 yang lalu manakala PH 19 kerusi. - Sinar Harian