PRN: Kerjasama PH-BN bergantung kepada proses dalaman UMNO dalam PAU 2022 - Rafizi

Fareez Azman
Januari 14, 2023 14:30 MYT
"Saya ingat setakat ini, gambarannya akan ada kerjasama pilihan raya antara PH dan BN masuk dalam PRN enam buah negeri ini." - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Proses kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri hanya akan diketahui selepas kedua-dua pihak membuat keputusan.
Menurut Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, dari sudut PH keputusan akan dibuat kelak manakala Barisan Nasional BN pula bergantung kepada situasi dalaman Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
"Kita (PKR) memang akan buat keputusan itu, maksudnya di sebelah PH pun kita akan buat keputusan itu, di sebelah BN pun kena buat keputusan itu.
"Sebab saya ingat setakat ini, gambarannya akan ada kerjasama pilihan raya antara PH dan BN masuk dalam PRN enam buah negeri ini.
"Tetapi proses itu saya ingat kita bergantung kepada perkembangan yang berlaku dalam UMNO, sekarang sebab UMNO sedang melalui PAU 2022, kemudian akan melalui pemilihan dan sebagainya kita juga tertakluk kepada proses dalaman UMNO diluar kawalan kita," katanya.
Tambah Rafizi, dari sudut persiapan, PH akan mempersiapkan jentera menghadapi pilihan raya yang dijangka berlaku tahun ini.
"Di pihak PH kita akan teruskan membuat persiapan dengan sasaran PH akan pertahankan tiga negeri ini dengan sasaran saya sebut tadi," katanya lagi.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari juga menjelaskan sekiranya gabungan antara dua parti itu berjaya, beliau yakin 53 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan bakal menjadi milik kerjasama itu.
"Kalau gabungan antara PH dan BN dengan ada kebolehpindahan undi yang tinggi antara kedua-duanya, PH plus BN berpotensi menang 53 kerusi daripada 56 kerusi.
"Jadi itu saya kena jelaskan... kadang-kadang ada yang kata yakin 53 kerusi," ujarnya.
Tambah Amirudin, rakyat ketika ini dilihat selesa dengan kerjasama antara dua parti politik itu kerana mewujudkan kestabilan politik di negara ini selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Rakyat agak selesa dengan perpaduan ini sebab ada kestabilan, cuma adakah ia akan dipindahkan ke dalam undian, itu kita kena semak sebab itu kita perlukan kajian lagi termasuk rangka perbincangan dan sebagainya," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pilihan Raya PKR Selangor di Pusat Konvesyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada Sabtu.
#Rafizi Ramli #Amirudin Shari #Selangor #PRN #UMNO #BN #PH
;