PRN: Kerajaan Perpaduan hormat kehendak rakyat, tekad kerja lebih keras demi negara - Anwar

Firdaus Azil
Ogos 12, 2023 00:00 MYT
PM menzahirkan rasa kesyukuran kerana proses PRN di enam negeri, termasuk PRK di Kuala Terengganu berjalan denga naman dan teratur, dan merakamkan penghargaan kepada pengurusan dan petugas SPR, serta pihak Polis Diraja Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini meminta gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional untuk menghormati keputusan PRN, yang menyaksikan kedudukan ‘status quo’ di enam negeri terbabit.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, keputusan itu diperoleh dari system demokrasi, dan pilihan rakyat harus dihormati dengan baik, dan sebarang masalah perundangan yang timbul harus dibuat mengikut jalur hukum dan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya lagi, apa jua keputusan yang diperolehi, semua parti baik menang atau kalah, harus kembali mengukuhkan silaturrahim, menumpu perhatian untuk mengangkat martabat negara, dan terus membela nasib rakyat.
“Bagi pihak Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Persekutuan, yang terus kekal dan kukuh selepas keputusan PRN ini, akan terus berkhidmat. Mulai Isnin, kita akan terus bertugas bukan sahaja seperti biasa, tetapi lebih tekun dan kerjas bekerja supaya Malaysia dapat mencipta kejayaan yang dibanggakan,” katanya lagi.
IKUTI KEPUTUSAN RASMI PRN DAN PRK TERENGGANU DI SINI
Dalam pada itu, Perdana Menteri menzahirkan rasa kesyukuran kerana proses PRN di enam negeri, termasuk PRK di Kuala Terengganu berjalan denga naman dan teratur, dan merakamkan penghargaan kepada pengurusan dan petugas SPR, serta pihak Polis Diraja Malaysia.
Di atas kejayaan mengekalkan kemenangan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, Anwar berkata, “ini berlaku kerana muafakat yang tercapai dalam kalangan semua parti (PH dan BN), termasuk rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak yang turut memberi dokongan yang baik,” katanya lagi.
#Anwar Ibrahim #PRN #pilihan raya negeri #Kerajaan Perpaduan
;