PRN: Kepimpinan Aminuddin diyakini, PH sokong perjuangan syiar Islam

Bernama
Ogos 3, 2023 10:10 MYT
Antara usaha kerajaan negeri mengembangkan syiar Islam dalam tempoh lima tahun di bawah pimpinan Aminuddin termasuk meluluskan peruntukan RM52.1 juta bagi membina tujuh masjid. - Foto fail/BERNAMA
SEREMBAN: Masyarakat Islam di negeri ini yakin bahawa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) diterajui Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun sentiasa mengutamakan dan menyokong perjuangan syiar Islam.
Pengerusi Persatuan Ikatan Ukhuwah Saudara Baru Negeri Sembilan (PIUSB) Muhammad Ridzuan Lau Abdullah berkata pihaknya sering mendapat sokongan dan bantuan daripada pimpinan kerajaan negeri untuk membantu saudara baharu dari segi kebajikan dan bimbingan fardu ain.
"Kerajaan negeri tidak pernah menghalang pergerakan kami, Menteri Besar sendiri, Speaker Dewan Negeri Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar Datuk Ismail Ahmad antara pemimpin membantu melancarkan persatuan ini," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, pelajar Aiman Fitri Hazlin, 21, berkata walaupun PH turut dianggotai parti bukan Islam namun ia tidak menyebabkan kedudukan agama Islam terancam, malah masyarakat di sini menolak mana-mana pihak yang cuba memainkan sentimen agama.
Beliau berpendapat kerajaan negeri melaksanakan inisiatif perjuangan syiar Islam dengan baik tanpa mengabaikan agama lain, selaras dengan konsep Malaysia MADANI kerajaan Perpaduan.
"Pembangunan Islam yang saya nampak adalah pembinaan masjid, selain itu inisiatif seperti pertambahan elaun imam termasuk imbuhan sekali beri RM1,000 kepada penggali kubur di negeri ini...jadi tidak nampak sentimen keagamaan itu dimainkan malah kepelbagaian kaum diraikan," katanya.
Pengundi muda dari Serting, Jempol itu turut tidak bersetuju dengan tindakan mana-mana pihak menggunakan sentimen agama untuk meraih undi pada musim Pilihan Raya Negeri ini kerana ia mampu meleraikan ukhuwah dan perpaduan rakyat negeri ini.
Selain itu, menurut Nur Zaireen Aina Zahafez, 23, yang menetap di Port Dickson sejak 2002, beliau tidak pernah merasakan kedudukan Islam tergugat dan semua bangsa dapat hidup dengan harmoni serta saling menghormati.
Antara usaha kerajaan negeri mengembangkan syiar Islam dalam tempoh lima tahun di bawah pimpinan Aminuddin termasuk meluluskan peruntukan RM52.1 juta bagi membina tujuh masjid serta RM17.69 juta untuk kerja menaik taraf serta menyelenggara surau dan masjid.
Peruntukan RM52.56 juta bagi pembangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) juga adalah lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
-- BERNAMA
#PRN #Aminuddin Harun #syiar Islam
;