PRN: Kempen 14 hari sesuai, cukup bagi nilai calon ADUN
Bernama
Julai 6, 2023 05:15 MYT
Julai 6, 2023 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Penetapan tempoh kempen 14 hari dan pengundian pada hari Sabtu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti, dilihat bersesuaian serta mencukupi bagi menilai calon parti berkelayakan untuk dipilih sebagai wakil rakyat.
Rata-rata penduduk di Selangor, Terengganu dan Kedah termasuk golongan mahasiswa menyifatkan tempoh standard kempen itu memadai bagi parti politik tanah air menyusun strategi untuk memikat hati pengundi, sekali gus meraikan demokrasi di negeri kelahiran mereka.
Seorang penduduk Kampung Kundang di Kuala Langat, Selangor, Kamaruzaman Denan, 44, berkata tempoh berkempen 14 hari itu berpadanan untuk calon memperkenalkan diri kepada masyarakat kerana rakyat kini sudah boleh mengakses media sosial untuk mengenali calon dengan lebih dekat.
"Tempoh 14 hari itu sudah cukup, lama sangat pun tidak kena, tapi yang penting cukup (masa) untuk calon turun padang berkenalan dengan orang tempatan. Hari mengundi pada hari Sabtu juga pilihan yang patut," katanya ketika dihubungi.
Penduduk Lembah Jaya Utara di Ampang, Mohd Yunus Yakkub, 40, pula berkata semakin lama tempoh berkempen, semakin banyak modal yang perlu dikeluarkan oleh semua pihak, justeru tempoh 14 hari memadai seperti yang dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November lepas.
"Apa yang penting adalah kebajikan semua pihak ketika berkempen terjaga. Pilihan untuk tarikh mengundi pada Sabtu juga membuktikan kerajaan cakna sebab ketika itu semua rakyat di enam negeri itu sedang bercuti," kata beliau yang merupakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya.
Bagi pengundi kawasan DUN Kulim, Kedah, S.Hemananthini, 30, tempoh berkempen selepas penamaan calon pada 29 Julai itu mencukupi bagi rakyat mengenali calon PRN dan gerak kerjanya untuk manfaat penduduk.
"Tarikh 12 Ogos (untuk pengundian) ini sesuai sebab ia bersamaan dengan hari Sabtu. Pada PRN ini sudah ada kerajaan Perpaduan, jadi sudah ada parti gabungan. Waktu kempen biasanya akan banyak program untuk masyarakat, calon akan jumpa masyarakat dan calon mesti kenal masyarakat yang dijumpainya," katanya.
Seorang pengundi bagi kawasan DUN Guar Chempedak, Nur Aisyah Sabri, 25, pula berkata tarikh pengundian dan tempoh berkempen ditetapkan itu menunjukkan keputusan yang tidak tergesa-gesa, yang memberikan pengundi peluang membuat pilihan baik memilih calon berkaliber.
"Kita tengok tarikh penamaan calon pada 29 Julai, dan hari mengundi pada 12 Ogos, yang memberikan 14 hari calon berkempen memperkenalkan diri dengan tawaran masing-masing untuk menambat hati pengundi. Bagi saya tempoh 14 hari sudah memadai untuk rakyat menilai gerak kerja calon parti," katanya.
Sementara itu seorang lagi pengundi kawasan DUN Sungai Tiang, juga di Kedah, Norsyamilah Abdullah, 32, berkata hari pengundian PRN yang diadakan pada hari Sabtu itu bertepatan kerana ia dapat memudahkan orang ramai keluar mengundi bagi menjalankan tanggungjawab mereka.
Seorang pengundi DUN Kuala Berang, Terengganu yang juga Pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Bimbingan dan Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM) Muhammad Zulkifli Sulaiman, 23, berkata tarikh itu memberi ruang kepada golongan mahasiswa untuk pulang mengundi.
Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) Kebangsaan itu berkata ini kerana mengikut kalender akademik kebanyakan pelajar universiti awam sedang menduduki peperiksaan akhir semester yang akan berakhir dalam tempoh menjelang hujung bulan.
Justeru kata Muhammad Zulkifli, tarikh 12 Ogos cukup baik berikutan ramai pelajar sudah cuti semester dan pulang ke kampung serta berpeluang melihat bagaimana parti bertanding berkempen.
"Jadi saya berharap rakan-rakan lain akan manfaatkan kelapangan waktu ini untuk bersama-sama menunaikan tanggungjawab kita mengundi kali ini," katanya.
Semalam, SPR mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian; tarikh penamaan calon pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
-- BERNAMA