PRN: Kelebihan dijangka memihak PN di Selangor - Penganalisis

Astro Awani
Julai 5, 2023 19:00 MYT
Marzuki yang juga setiausaha sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ada kemungkinan angin perubahan sedang bertiup di Selangor. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Persaingan sengit antara Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dijangka berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Profesor Madya di Jabatan Sains Politik, Kulliyyah Ilmu Wahyu Islam dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Marzuki Mohamad berkata, kelebihan dijangka memihak kepada PN terutamanya di kerusi-kerusi majoriti Melayu.
Jelasnya, berdasarkan kajian yang dijalankan di 39 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor terhadap majoriti Melayu di negeri itu yang melibatkan 1,200 orang responden, antara dapatan diperolehi adalah tidak berlaku pemindahan undi secara penuh (full vote transferability) antara PH dan BN dalam kalangan pengundi Melayu.
"Ini bermakna, pengundi Melayu BN tidak semestinya mengundi calon PH dan pengundi Melayu PH juga tidak semestinya mengundi calon BN.
"Sebaliknya, dalam kalangan pengundi Melayu BN, 39 peratus telah menyatakan akan mengundi PN dan hanya 15 peratus akan mengundi PH.
"Ini bermakna, tujuh daripada 10 pengundi Melayu BN yang telah membuat keputusan mengenai pemilihan parti dalam PRN nanti memilih untuk mengundi calon PN. Baki 49 peratus pengundi Melayu BN masih belum pasti tentang parti yang akan diundi kelak. Namun, penelitian yang lebih mendalam mendapati sebahagian besar daripada mereka lebih cenderung untuk menyokong PN berbanding PH," katanya dalam artikel bertajuk “Why Perikatan Nasional May Win in Selangor” yang disiarkan dalam ISEAS Perspective, terbitan Institute of Southeast Asian Studies, Singapura.
Justeru, dengan trend pengundian terkini ini, Marzuki yang juga setiausaha sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ada kemungkinan angin perubahan sedang bertiup di Selangor.
"Sama ada angin ini boleh membawa PN kepada kemenangan atau tidak, bergantung kepada berapa banyak kekuatan yang mereka berjaya kumpulkan menjelang hari pengundian," jelasnya.
#PRN #Perikatan Nasional #Pakatan Harapan #DUN
;