PRN Kedah: Terkejut tak dapat mengundi, nama telah digunakan

Sinar Harian
Ogos 12, 2023 15:21 MYT
Menurut Rozana Mokhtar, 35, dari Taman Lagenda berkata, dia yang pertama kali ingin membuang undi di Kedah teruja untuk menunaikan tanggungjawab di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Mahsuri. - Gambar/ Sinar Harian
ALOR SETAR: Seorang wanita membuat laporan polis selepas dia tidak dapat mengundi kerana namanya didaftar sudah mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada Sabtu.
Menurut Rozana Mokhtar, 35, dari Taman Lagenda berkata, dia yang pertama kali ingin membuang undi di Kedah teruja untuk menunaikan tanggungjawab di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Mahsuri.
Rozana berkata, dia yang mengundi di Gunung Semanggol, Perak sebelum ini tiba bersama kakaknya tiba di sekolah terbabit untuk mengundi lebih kurang jam 8.50 pagi.
"Kali pertama mengundi di sini, jadi saya minta bantuan petugas untuk bantu saya pergi ke saluran yang betul iaitu saluran tiga. Kemudiannya, pegawai yang bertugas di bahagian pemeriksaan nama telah minta kad pengenalan saya.
"Apabila saya bagi, dia terkejut dan maklumkan bahawa nama saya telah ditanda. Ada orang yang guna kad pengenalan saya untuk buang undi,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.
IKUTI PERKEMBANGAN PRN 6 NEGERI SECARA LANGSUNG DI SINI
LIHAT KEPUTUSAN PRN RASMI/ TAK RASMI DI SINI
Menurutnya, dia kemudiannya bertanyakan pegawai berkenaan sama ada melakukan pemeriksaan dengan teliti berikutan terkejut dengan kejadian itu.
Bagaimanapun, kata Rozana, pegawai itu memberikan alasan bahawa muka sebenar dan paparan muka di kad pengenalan sekarang banyak yang berbeza.
"Jadi, dia terus maklumkan bahawa saya memang tidak boleh mengundi kerana nama sudah dipotong," katanya.
Rozana memberitahu, dia yang diminta membuat laporan polis berhubung kejadian telah pergi ke Balai Polis Padang Serai sebelum diminta untuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.
Menurutnya, perasaan teruja untuk membuang undi di Kedah kini bertukar kepada perasaan sedih dan kecewa, malah terkejut apabila terjadi kepada dirinya sendiri.
Sehubungan itu, kata wanita itu, dia berharap pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menjalankan siasatan berhubung perkara ini.
Sebelum itu, Rozana turut berkongsikan pengalamannya yang kecewa disebabkan tidak dapat mengundi di laman sosial Facebook. - Sinar Harian
#PRN #PRN Kedah #nama diguna orang lain #mengundi
;