PRN Kedah: Baddrol, Radhi Mat Din sah calon PN di Gurun, Alor Mengkudu

Hilmi Malik
Julai 26, 2023 22:50 MYT
Baddrol (kanan) menjadi calon PN di Gurun, manakala Radhi (kiri) bertanding di DUN Alor Mengkudu. - Gambar fail
ALOR SETAR: Nama bekas kapten pasukan bola sepak Lang Merah, Baddrol Bakhtiar diumumkan sebagai calon muka baharu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah kali ini.
Perkara itu diumumkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Sanusi Md Nor pada Majlis Pengumuman Calon Perikatan PN Kedah di Kompleks Pas Kedah pada Rabu.
Pengumuman itu sekali gus menjawab teka teki berhubung nama pemain bola sepak itu yang sebelum ini disebut-sebut bakal menjadi salah seorang calon PN di Kedah.
Sebelum ini, Baddrol yang juga merupakan tunjang kepada pasukan Sabah FC membuat keputusan untuk berundur dari pasukan itu setelah menzahirkan hasrat untuk menyertai politik tanah air.
Baddrol dijangka berdepan saingan sengit bertemu bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Mohammed Firdaus Johari (PKR).
Untuk rekod pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, DUN Gurun dimenangi Datuk Johari Abdul yang mewakili Pakatan Harapan (PH) selepas meraih 10,732 undi, namun beliau mengosongkan kerusi itu susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Disember lalu.
Selain Baddrol, seorang lagi legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din turut diumumkan bertanding bagi kerusi DUN Alor Mengkudu.
Radhi yang ketika ini memegang jawatan Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Lada, pernah menjadi calon Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, namun tewas di Parlimen Pokok Sena.
#PRN #PRN Kedah #Baddrol Bakhtiar #Radhi Mat Din
;