PRN Johor: Warisan bakal bertanding di DUN Permas

Bernama
Februari 17, 2022 16:47 MYT
Mohd Shafie bagaimanapun belum mengumumkan nama calon yang bakal bertanding di kerusi berkenaan. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Parti Warisan hari ini mengesahkan bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.
Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagaimanapun belum mengumumkan nama calon yang bakal bertanding di kerusi berkenaan.
"Ya, ini adalah kawasan yang akan (ditandingi), sebab tu saya datang," katanya kepada pemberita selepas melawat sekitar kawasan Pasar Muafakat Sabah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita sama ada DUN Permas antara kawasan yang bakal ditandingi parti itu di PRN berkenaan.
SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI
Menurutnya beliau turun ke kawasan itu untuk berjumpa dengan Ketua Koordinator Warisan Johor bagi berbincang persediaannya berdepan dengan PRN Johor.
Sementara itu Mohd Shafie berkata beliau akan mengumumkan nama-nama calon yang akan bertanding pada PRN itu dalam masa terdekat dengan sebahagian besarnya calon muka baharu tempatan.
SENARAI CALON PENUH PRN JOHOR 2022 DI SINI
-- BERNAMA
#PRN Johor #Warisan #Shafie Apdal #DUN Permas
;