PRN Johor: Utamakan kepentingan pengundi, bukan hanya fikir kemahuan politik - Penganalisis

Rahimah Abdullah
Januari 28, 2022 21:48 MYT
Dr Hamidin berkata parti-parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu mengutamakan kepentingan pengundi dan bukan hanya memikirkan kemahuan untuk melakukan kerjasama politik semata-mata.
KUALA LUMPUR : Parti-parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu mengutamakan kepentingan pengundi dan bukan hanya memikirkan kemahuan untuk melakukan kerjasama politik semata-mata.
Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid berkata, matlamat itu penting memandangkan perkara itu kurang diperkatakan oleh parti politik.
"Kerjasama ini boleh menarik lebih ramai pengundi untuk berada di bawah gabungan sesetengah parti. Namun, dalam masa yang sama, pengundi juga ketika ini berdepan dengan banyak permasalahan seperti COVID-19, dan kita berdepan himpitan ekonomi.
"Jadi dalam konteks ini, kita melihat bahawa bagaimana parti-parti ini selain daripada memikirkan kerjasama, mereka juga seharusnya senada dan seirama dalam membentuk bagaimana kepentingan rakyat ini dipelihara. Jadi ini yang amat kurang diperkatakan sebenarnya oleh parti-parti politik," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
BACA: UMNO negeri patut diberi autonomi tentu bentuk kerjasama politik - Ismail Sabri
BACA: BN kaji kerjasama dengan Pas, namun majoriti mahu bergerak solo - Tok Mat
Beliau turut memberi contoh Barisan Nasional (BN) yang lebih banyak menyentuh mengenai kelangsungan parti ketika kempennya.
"Walaupun BN tidak melakukan kualitinya, tetapi kalau kita lihat konteks kempen, BN banyak memperkatakan tentang kelangsungan mereka sebagai sebuah parti, tidak mengatakan tentang kepentingan rakyat dan sebagainya,
"Jadi apa yang perlu dilakukan parti politik selain menyatakan tentang kemahuan mereka untuk bekerjasama, mereka juga seharusnya memberikan keyakinan kepada pengundi bahawa kepentingan pengundi itu sentiasa berada di hadapan dalam konteks kualiti mereka," tambahnya.
Dalam pada itu, Dr Hamidin tidak menolak kemungkinan berlaku pergolakan politik peringkat persekutuan jika ada kerjasama antara parti di peringkat negeri.
"Saya tidak menyangkal bahawa akan berlaku juga kocakan di peringkat persekutuan sekiranya persoalan ini berlanjutan atau parti-parti yang membentuk kerajaan persekutuan itu merasakan bahawa mereka ini sudah tidak lagi diperlukan dalam konteks di peringkat persekutuan kerana mereka ditinggalkan di peringkat negeri.
"Jadi saya kira kerjasama di peringkat negeri itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi persekutuan dan dalam masa sama sekiranya mereka memikirkan tentang PRU15," kata beliau lagi.
BACA: PRN Johor: Muda akan putuskan isu kerjasama, pencalonan - Syed Saddiq
BACA: PRN Johor: BN cadang tanding solo - Hasni
#pilihan raya #PRN Johor #Dr Hamidin Abd Hamid #ILHAM Centre #penganalisis #politik #Johor Memilih
;