PRN Johor: UMNO tidak tawar habuan bekas ADUN Bersatu keluar parti

Astro Awani
Januari 30, 2022 08:34 MYT
Ahmad berkata, tindakan Pas untuk terus bersama Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah diduga dan bukan sesuatu yang memeranjatkan BN dan UMNO. - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: UMNO tidak menawarkan sebarang habuan kepada dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yang bertindak keluar daripada parti itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua mereka namun mengakui tindakan itu tiada kaitan dengan UMNO.
Katanya, UMNO juga tidak menerima permohonan daripada kedua-dua mereka untuk menyertai UMNO.
"UMNO tetap berterima kasih kepada kedua-dua bekas ADUN itu yang menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
"Tapi tidak ada sebarang habuan yang dijanjikan kepada mereka. Mereka dengan sukarela suci hati keluar daripada PPBM (Bersatu) tanpa kami janjikan apa-apa. Itu kehendak mereka sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama parti Makkal Sakti Malaysia yang diadakan di sebuah hotel di sini, hari ini.
BACA SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI
Terdahulu, bekas ADUN Larkin, Datuk Mohd Izhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor itu mengumumkan keluar Bersatu.
Tindakan itu selepas bekas ADUN Puteri Wangsa yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang meletak jawatan sebagai ketua bahagian dan mengumumkan keluar parti.
Kedua-dua mereka berbuat demikian dengan alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Ahmad berkata, tindakan Pas untuk terus bersama Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah diduga dan bukan sesuatu yang memeranjatkan BN dan UMNO.
Katanya, BN dan UMNO bersedia menghadapi cabaran kedua-dua parti itu yang akan bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN)
#PRN Johor #Johor Memilih #Ahmad Maslan #ADUN Bersatu keluar parti