PRN Johor: UMNO ada strategi tersendiri perkenal calon, tak perlu ikut parti lain - Shahril

Bernama
Februari 5, 2022 14:43 MYT
UMNO tidak akan terikut-ikut dengan tindakan parti lain memperkenalkan calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Shahril Suffian Hamdan. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: UMNO mempunyai strategi tersendiri dalam memperkenalkan calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dan tidak akan terikut-ikut dengan tindakan parti lain.
Ketua Penerangannya, Shahril Suffian Hamdan berkata, soal siapa calon dan masa yang sesuai untuk menampilkan calon, diputuskan oleh pucuk pimpinan parti dan Barisan Nasional (BN).
"UMNO dan BN tidak terikat dengan kaedah atau pendekatan parti lain. Kita buat keputusan biasanya berasaskan apa yang dipertimbangkan sebagai yang terbaik, untuk parti dan untuk rakyat.
"Daripada segi calon ini, tidak perlulah UMNO terlalu reaktif (bertindak balas) kepada apa yang orang lain buat," kata beliau kepada pemberita selepas sesi dialog santai bersama mahasiswa universiti tempatan di sebuah restoran di sini hari ini.
Shahril, yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkata, beliau yakin Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, selaku Pengarah PRN Johor serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad turut mempunyai strategi mereka sendiri berhubung calon.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai strategi Pakatan Harapan (PH) yang sudahpun mula memperkenalkan calon-calon yang akan bertanding pada PRN Johor bermula semalam, meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum pun mengumumkan tarikh mengundi.
Semalam, PH mengumumkan Sheikh Umar Bagharib Ali daripada DAP dipilih sebagai calon untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, sekali gus mempertahankan kerusi yang dimenangi beliau pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas.
Hari ini PH dijadualkan memperkenalkan dua lagi calon yang akan bertanding bagi kerusi DUN Mengkibol dan Mahkota.
Sementara itu, Shahril menyahut seruan Presiden UMNO semalam untuk tidak berkempen secara konvensional bagi PRN kali ini, sebaliknya menumpukan perhatian kepada media sosial.
"Kita sudah ada pengalaman dalam PRN Melaka, di mana banyak kempen kitapun gunakan saluran digital, produk-produk yang kita keluarkan, saluran-saluran yang kita keluarkan, baik dalam konteks penyiaran ataupun kumpulan-kumpulan kecil (seperti WhatsApp, Telegram dan sebagainya).
"Itu akan jadi pendekatan umum kita daripada segi media digital," tambah beliau. - BERNAMA
#Shahril Hamdan #calon pilihan raya #PRN Johor #UMNO
;