PRN Johor: 'Track record' PN terbukti, berjaya urus dua krisis serentak - Radzi Jidin
Firdaus Azil
Mac 7, 2022 07:26 MYT
Mac 7, 2022 07:26 MYT
JOHOR BAHRU: Pandangan bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah sama dengan Pakatan Harapan (PH) dari segi aspek menunaikan janji bukan satu indikator yang tepat, kata Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Mohd Radzi Md Jidin.
Menteri Kanan Pendidikan itu berkata, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu-satunya Perdana Menteri yang terpaksa menguruskan dua krisis serentak - krisis ekonomi dan krisis kesihatan - ekoran penularan COVID-19.
Tambahnya, dalam tempoh 16 bulan PN mentadbir negara, pelbagai rintangan diatasi termasuk penyediaan dan pengurusan vaksin yang mencukupi untuk memastikan jangkitan COVID-19 dalam negara terkawal.
"Gabungan sekarang berbeza dengan Pakatan Harapan dulu. Dulu (waktu PH) macam macam (masalah), nak buat itu tak boleh ini tak boleh.
"Bila PN dilantik sebagai Perdana Menteri, dalam tempoh amat sukar 16 bulan, kita ada track record, dalam tempoh sukar ini, banyak perkara pernah dilaksanakan.
"Kita perlu ingat, dalam sejarah negara, tidak ada mana-mana perdana menteri yang pernah uruskan dua krisis serentak.
"Carilah, bacalah sejarah, tak ada perdana menteri yang pernah menguruskan dua krisis serentak iaitu krisis ekonomi dan krisis kesihatan,” katanya lagi
Beliau berkata demikian selepas selesai menerangkan lapan tunjang utama ikrar atau manifesto Perikatan Nasional untuk Pilihan Raya Negeri Johor, kepada petugas media.
Lapan Tunjang Utama tersebut ialah Kepimpinan Berintegriti Dan Bebas; Keutuhan Ekonomi Johor; Keutamaan Tangani Kos Sara Hidup; Keprihatinan Kepada Rakyat, Kesejahteraan Sosial; Kecekapan Infrastruktur, Merancakkan Sektor Pelancongan Dan Kelestarian Alam Sekitar.
Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, biarpun hanya 16 bulan mentadbir negara, pencapaian PN dalam menyelesaikan pelbagai isu tertunggak adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak.
"Ada yang kata 'eh sekarang dah okey, masa dulu tak okey'.
"Apa yang berlaku hari ini bukan by chance. Keadaan yang berlaku pada hari ini adalah strategi yang disusun beliau (Muhyiddin) sewaktu menjadi Perdana Menteri," tegasnya lagi.