PRN Johor: Tidak tepati SOP, ceramah Alwiyah tak dapat diteruskan
Hilmi Malik
Februari 27, 2022 23:12 MYT
Februari 27, 2022 23:12 MYT
MERSING : Penganjuran ceramah bagi calon Perikatan Nasional (PN), Alwiyah Talib bagi DUN N.32 Endau terhalang berikutan isu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ini selepas program ceramah berkenaan dilakukan di kawasan terbuka meskipun ia dilaksanakan di lokasi Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Alwiyah ketika ditemui bagaimanapun akur dengan keputusan tersebut dan memutuskan untuk tidak meneruskan program berkenaan.
“Saya dimaklumkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tadi bahawa ada beberapa perkara (SOP) yang perlu dipatuhi kerana ceramah perlu diadakan di kawasan tertutup walaupun ini merupakan PDM.
“Mereka (SPR) sarankan supaya memilih PDM yang bertutup dengan memastikan kapasiti mengikut ruang yang sesuai.
“Saya juga tak dibenarkan guna pembesar suara seperti yang dinyatakan dalam SOP PRN Johor,” katanya ketika ditemui di PDM Tenglu pada malam Ahad.
Pada masa sama, Alwiyah berharap penguatkuasaan itu dilaksanakan secara adil dan tidak timbul isu ‘double standard’ melibatkan parti-parti lain yang turut bertanding.
“Mungkin ini yang pertama jadi saya terimalah cuma saya harap tiada pilih kasih... ada parti yang boleh buat ada yang tak boleh, jadi saya tak nak ini berlaku di DUN N.32,” ujarnya lagi.
Terdahulu, ceramah yang sepatutnya bermula sekitar jam 9 malam bagaimanapun tidak dapat diteruskan setelah dikesan berlaku beberapa pelanggaran SOP.
Keadaan itu juga membuatkan enam Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya SPR yang berada di lokasi untuk menyuraikan sekumpulan individu yang berkumpul untuk mendengar ceramah.
Alwiyah bagaimanapun akur dengan keputusan tersebut dan memutuskan untuk hanya bersama jentera parti tanpa membuat sebarang aktiviti ceramah.