PRN Johor: Tidak perlu terlalu ekstrem dalam berkempen - Mahdzir Khalid
Shuhada Abdul Kadir
Februari 18, 2022 20:08 MYT
Februari 18, 2022 20:08 MYT
SEGAMAT: Tidak perlu terlalu ghairah dan ekstrem dalam berkempen bagi meraih undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebaliknya semua parti bertanding perlu bijak menggunakan ruang yang ada lebih-lebih lagi menerusi medium media massa tanpa perlu memburuk-burukkan mana-mana pihak.
"Sebenarnya tiap parti politik bertanding, masing-masing ada strategi, masing-masing ada proses. Ada sesetengah daripada mereka terlampau emosional, ada yang terlampau emosi, ada yang terlampau optimistik nak bertanding.
"Jadi nasihat saya jangan terlampau ekstrem mengeluarkan kenyataan. Zaman sekarang peradaban bangsa sudah tinggi menerusi proses pendidikan yang dibina oleh Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun.
"Jadi tak payah maki hamun dalam media, cakap saja apa yang kita nak buat, dan biar rakyat buat penilaian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pekebun Kecil Makmur Risda peringkat negeri Johor di Dewan Kampung Paya Merah, Labis petang Jumaat.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata jentera-jentera parti juga diingatkan untuk kekal optimistik dalam mendapatkan kepercayaan pengundi tanpa perlu menghina atau menabur fitnah.
Ujarnya, ini kerana, kenyataan mahupun tindakan yang terlalu beremosi hanya merugikan parti kerana rakyat hari ini semakin bijak membuat penilaian.
Sementara itu, ketika diaju soal pengagihan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti komponen BN jelasnya, ianya sudah berada di peringkat akhir.
Katanya, UMNO dan BN akan menggunakan kaedah dan ramuan berbeza pada PRN Johor berbanding penglibatan pada PRN Melaka, November lalu.