JOHOR BAHRU: Masih terlalu awal untuk berbicara soal pemilihan calon Menteri Besar Johor bagi Pakatan Harapan, kata bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Dalam perkongsian terbaharu di akaun Twitternya, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, fokus utama PH buat masa ini ialah untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terlebih dahulu.

Selain itu, katanya lagi, keputusan akhir untuk urusan pelantikan Menteri Besar Johor selepas mana-mana pihak mendapat mandat rakyat, tertakluk kepada Sultan Johor sendiri iaitu Sultan Ibrahim.


Baru-baru ini nama Maszlee Malik disebut-sebut sebagai antara nama calon MB Johor seandainya PH memenangi PRN kali ini.

Sumber memaklumkan kepada Astro AWANI, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkemungkinan besar akan ditempatkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, kerusi itu dimenangi Datuk Onn Hafiz Ghazi menewaskan pencabarnya Murugan Muthu Samy (PH) dan Mohd Jubri Selamat(Pas) dengan majoriti tipis 364 undi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi tidak ketinggalan melihat Maszlee sebagai prospek yang berpotensi untuk mengetuai Kerajaan Negeri Johor.

“Seperti mana dlm PRN Melaka PH menamakan Adly Zahari sebagai calon KM, PH juga wajar namakan calon MB utk menarik keyakinan pengundi di Johor.

“Saya cadang agar diletakkan YB Dr @Maszlee Malik sebagai calon dlm PRN Johor dan dinamakan sebagai calon MB sekiranya PH diberi mandat,” katanya lagi.


Biarpun kerusi itu secara tradisional ditandingi PKR, namun DAP telah menunjukkan minat di kerusi tersebut, dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Marina Ibrahim telah pun bergerak aktif melakukan kerja-kerja kemasyarakatan di kawasan itu sejak dua tahun lepas.

Buat masa ini senarai pencalonan penuh bagi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi PH masih belum dikeluarkan.

Dalam pada itu, Maszlee sempat berseloroh dengan berkongsi paparan yang digunapakai dalam artikel asal Astro AWANI, yang menunjukkan dirinya, Marina, serta penyandang kerusi DUN Layang-layang sebelum ini, iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi.

BACA: PRN Johor: Maszlee bakal calon MB Pakatan Harapan, mungkin bertanding di DUN Layang-Layang - Sumber

“Saya tiada maklumat tentang apa yang diperkatakan. Saya hanya menurut arahan parti apapun keputusan pimpinan. Cuma gambar Awani ni mcm drama TV3 kisah cinta tiga segi la pula,” katanya lagi.