PRN Johor: SPR sasar keluarkan SOP sebelum hari penamaan calon
Astro Awani
Februari 11, 2022 16:13 MYT
Februari 11, 2022 16:13 MYT
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Johor, yang jatuh pada 26 Februari ini.
Ketua Komunikasi Korporat SPR Mohd Azlan Charles Abdullah berkata, penyediaan SOP berkenaan kini di peringkat akhir, dan akan dimuktamadkan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.
Jelasnya, SOP itu sepatutnya dikeluarkan pada hari penamaan, namun SPR akan cuba mengeluarkannya lebih awal, bagi membolehkan parti-parti yang bertanding, termasuk pihak terlibat membuat persediaan sewajarnya.
“Setakat ini SOP itu dalam peringkat akhir, dan kita akan cuba keluarkan lebih awal, SOP itu sepatutnya diumumkan sebelum hari penamaan, jadi Insya-Allah kita akan keluarkan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat SPR bersama Petugas Media sempena PRN Johor, yang turut dihadiri Pengarah SPR Johor, Nor Nekman Jaimon.
Pada 9 Feb lepas, Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon bagi PRN Johor, manakala tarikh mengundi pula pada 12 Mac depan.