PRN Johor: SPR patut permudahkan lagi akses pengundian - UNDI18

Israr Khalid
Februari 9, 2022 06:07 MYT
Undi pos adalah cara yang dicadang untuk memudahkan pengundi di luar kawasan membuang undi di waktu mencabar ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Banyak lagi perkara yang perlu dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya lebih ramai pengundi Johor dapat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac ini.
Koordinator program UNDI18 Diffan Sina Jasmi berpandangan, akses untuk mengundi harus diperluas dan dipelbagai supaya matlamat SPR melihat peratusan keluar mengundi yang tinggi dapat dicapai.
Menerusi inisiatif Undi Johor, beberapa tuntutan dibuat untuk memudahkan pengundi, khususnya yang berada di luar negara, untuk terus terlibat dalam proses demokrasi ini dengan lancar.
“Kita menuntut SPR mewujudkan pusat penyelarasan mengundi di setiap Kedutaan Malaysia untuk pengundi luar negara mengepos undi mereka.
“Apabila ada satu penyelarasan berpusat, tidak akan timbul nanti isu seperti undi tidak sampai atau lambat kerana ia sudah dihantar ke kedutaan,” katanya.
Dalam kes ini, SPR, kata Diffan, juga perlu membenarkan undi pos bagi pengundi Johor di Sabah dan Sarawak.
Ia sepertimana yang dibolehkan untuk pengundi Johor di Singapura yang tidak dapat pulang ke kawasan mengundi masing-masing.
Selain dapat meningkatkan peratusan mengundi, katanya, ia juga dapat menjimatkan kos pergerakan pengundi di samping membantu mengurangkan risiko penularan COVID-19.
Jelas Diffan, ini bukan hanya tertakluk pada PRN Johor sahaja, tetapi untuk pilihan raya-pilihan raya yang mendatang, terutamanya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15v yang dijangka tidak lama lagi.
BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI
Di samping perkara yang dituntut di atas, katanya, SPR juga antara lain boleh berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan pengundi luar negara pulang, seiring syor untuk membuka semula sempadan antarabangsa bermula 1 Mac ini.
“Dengan pertambahan kira-kira 5.8 juta pengundi baharu (selepas pelaksanaan pendaftaran automatik), ini mungkin akan menambah kesesakan di pusat pengundi di hari mengundi.
“Jika selama ini hanya sehari, SPR mungkin boleh pertimbangkan untuk memanjangkan waktu operasi pusat pengundi kepada dua hari,” tambah Diffan lagi.
Mengenai pengundian awal, dia mencadangkan supaya SPR dapat memperluaskan skopnya bagi merangkumi penuntut institusi pengajian tinggi.
“Kita sedia maklum ketika ini banyak universiti yang sedang dalam musim peperiksaan. Ada juga yang tutup kerana ada kluster jangkitan.
“Jadi kalau dahulu hanya menumpukan di sekolah-sekolah, menuju pilihan raya akan datang boleh menjadi penanda aras di mana universiti dan kolej juga boleh menjadi pusat mengundi.”
Tonton temu bual penuh Diffan dalam program Agenda AWANI bersama hos Nazri Kahar, di sini:
PRN Johor | SPR patut permudahkan lagi akses pengundian - UNDI18
Agenda AWANI: Anak muda, marilah mengundi
#PRN Johor #SPR #Diffan Sina Jasmi #akses untuk mengundi
;