PRN Johor: SOP sudah dilonggarkan, kini tanggungjawab parti politik elak penularan

Fareez Azman
Februari 19, 2022 14:27 MYT
G Manimaran berkata, meskipun SOP yang digariskan demi proses demokrasi dijalankan oleh setiap parti bertanding, namun ujarnya, tanggungjawab ketika ini di bahu parti politik. - Bernama
KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat lebih fleksibel dan tidak terlalu ketat seperti PRN Melaka dan Sarawak sebelum ini.
Menurut penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, G Manimaran, meskipun SOP yang digariskan lebih memudahkan proses demokrasi dijalankan oleh setiap parti bertanding, tanggungjawab ketika ini di bahu parti politik.
"Ada beberapa kelainan kali ini berbanding PRN Melaka dan Sarawak. PRN Sarawak lebih anjal, PRN Melaka sangat ketat... sebab itu parti bertanding meminta SPR melonggarkan SOP bagi memudahkan mereka menjalankan kempen demokrasi.
"Kemudian di Sarawak ada sedikit kelonggaran tapi kali ini di Johor lebih baik berbanding Sarawak. SPR memberi kempen 14 hari, SOP garis panduan dikeluarkan lebih awal seminggu sebelum tarikh penamaan calon. Ada sedikit fleksibiliti... lebih baik daripada dua PRN lepas," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Sabtu.
Jelas Manimaran, setiap pihak yang terlibat dalam ceramah secara bersemuka atau apa sahaja aktiviti sepanjang PRN Johor perlu mematuhi SOP kendiri.
Jika tidak, tambahnya, peningkatan kes mendadak boleh berlaku sepertimana yang berlaku dalam PRN Sabah pada tahun 2020.
"Perbezaan berbanding Melaka dan Sarawak, tiada peningkatan kes. Tapi kali ini di Johor belum diadakan saya dah dengar ramai petugas parti, wartawan pun ada dah dijangkiti. Petugas lain juga saya dengar ramai dijangkiti, sama seperti di PRN Sabah pada 2020.
"Apa yang penting adalah parti politik meminta SOP dilonggarkan dan SPR telahpun melonggarkannya. Kita nak meningkatkan penyertaan rakyat dan calon lebih aktif supaya boleh didekati pengundi.
"Tetapi semua orang termasuk pemegang taruh, calon, jentera, petugas parti, SPR dan kakitangan kesihatan perlu mematuhi SOP kendiri supaya jangkitan itu tidak merebak bukan sahaja sepanjang tempoh berkempen malah pasca pilihan raya," jelasnya lagi.
Pemimpin perlu jadi contoh
Sementara itu jelasnya, setiap pemimpin parti politik perlu menjadi contoh kepada masyarakat setempat dan bukannya melanggar SOP kerana mempunyai kuasa.
Jika itu disajikan kepada masyarakat, jelas Manimaran, beliau tidak menolak lebih banyak pelanggaran SOP akan berlaku sekiranya pemimpin sendiri mengendahkannya.
"Itu sangat penting. Sementara SOP dilonggarkan, calon boleh bertemu orang ramai atau penyokong mereka. Berkempen (secara) bersemuka berbanding pertemuan secara besar-besaran.
"Bermaksud ada kelonggaran... jadi kita pandai-pandai, kena jaga, jangan jadi punca peningkatan. Saya risau peningkatan berlaku lebih 30,000 kes selepas PRN Johor, itu kita risau," katanya lagi.
SOP PRN Johor yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat antara lain membenarkan penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah sepanjang 14 hari tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bagaimanapun, kebenaran ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.
SPR sebelum ini menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal 8 Mac.
#PRN Johor #SOP #penularan #COVID-19 #MKN
;