PRN Johor: 'Saya lompat demi pengundi Endau' - Alwiyah

Hilmi Malik
Februari 27, 2022 07:30 MYT
ALWIYAHl Bila jadi wakil rakyat pembangkang maka saya berpendirian wajar untuk saya bersama kerajaan PH ketika itu. - Astro AWANI
MERSING : Keputusan untuk melompat parti daripada Barisan Nasional (BN) ke Bersatu disifatkan sebagai satu langkah untuk memperjuangkan rakyat di Mersing kata calon Perikatan Nasional (PN), Alwiyah Talib.
Alwiyah yang juga calon untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau berkata, tindakan pada ketika itu juga diambil disebabkan usaha untuk mestabilkan politik di negeri Johor.
“Mungkin segelintir orang politik anggap ini merupakan satu pengkhianatan kepada BN, tapi saya ingin jelaskan kalau saya kekal dengan parti asal maka saya akan jadi wakil pembangkang.
“Walaupun menang pertama kali, kerajaan telah betukar kepada parti pembangkang dan saya rasa perlu ada dalam kerajaan sebelum berhijrah,” katanya ketika ditemui di Pusat Daerah Pengundi (PDM) Tenglu pada Ahad malam.
Mengulas mengenai dakwaan Mersing yang dikatakan popular dengan budaya melompat, Alwiyah menegaskan beliau merupakan individu pertama yang melakukan tindakan itu.
Jelas Alwiyah, apa yang menjadi keutamaan ketika itu adalah kebajikan rakyat di kawasannya.
“Bila kali pertama menang dan jadi wakil rakyat berstatus pembangkang maka saya berpendirian wajar untuk bersama dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya lagi.
Mengulas lanjut, penerimaan rakyat di kawasannya merupakan kekuatan bagi Alwiyah untuk terus menaburkan khidmatnya.
Alwiyah yang bakal bersaing dengan tiga lagi calon turut menyatakan hasrat untuk menyelesaikan beberapa isu lain yang masih tergendala melibatkan sosioekonomi nelayan dan petani ekoran pembubaran DUN.
BACA: PRN Johor: Pertembungan lima penjuru di DUN Endau
Alwiyah bakal menerima tentangan daripada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Youzaimi Md Yusof, (PH), Mohamad Fakrulradzi Mahmud, (Pejuang) Noorhisyam Ibrahim, dan calon Bebas, Ismail Don.
#Alwiyah Talib #dun endau #PRN Johor #Johor Memilih
;