PRN Johor: Saingan banyak penjuru beri kelebihan pada BN - Najib

Astro Awani
Februari 27, 2022 13:46 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) dan calon BN DUN Kempas, Datuk Ramlee Bohani (dua, kiri) beramah mesra bersama penyokong BN di Taman Cempaka, Kempas hari ini. - Gambar BERNAMA
JOHOR BAHRU: Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak menyifatkan saingan banyak penjuru pada kebanyakkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka memberi kelebihan buat parti gabungan itu.
Beliau, bagaimanapun, tidak mahu bersikap optimis dan menyerahkan kepada rakyat dalam membuat penilaian.
Menurut Najib, setiap calon BN yang bertanding turut dinasihatkan untuk bersikap tawaduk selain perlu menyedari bahawa mandat yang diberikan untuk memimpin kerajaan perlu diperoleh daripada rakyat.
"Macam pepatah Inggeris berkata the more the merrier jadi kita rasa bahawa lebih ramai calon kemungkinan lebih baik peluang utk BN.
“Itu kemungkinan, tapi kita tidak boleh merasakan terlalu optimis… kita mesti bekerja keras dan yakin bahawa kita menawarkan agenda yang terbaik untuk rakyat," kata Najib..
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program santai bersama penduduk di Taman Cempaka di sini,
pada Ahad.
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri memaklumkan, kemenangan BN dalam PRN Johor mampu memberikan impak dan menjadi titik perubahan dalam landskap politik negara.
"Setiap kali kita kata ada PRN, itu macam testing ground tapi kalau dari segi nilai politiknya, negeri Johor memang lebih besar dengan 56 DUN dan 26 Parlimen. (Ini) bererti bahawa sesiapa yang berjaya di sini (Johor) akan membawa impak yang besar kepada senario dan landskap politik dalam negara," jelas Najib lagi.
#PRN Johor #Najib Razak #Barisan Nasional #banyak penjuru
;