MERSING: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan berkemungkinan lebih ramai lagi yang akan kembali untuk menyertai parti itu.

Beliau yang juga merupakan Presiden UMNO menyatakan bahawa pihaknya sentiasa membuka laluan untuk individu yang ingin kembali ke landasan asal.

“Saya secara terbuka, InsyaAllah akan terima jika Youzaimi (BN-Endau) menang besar maka mudahlah untuk kita perlicinkan urusan.

“Saya rasa bukan di Mersing sahaja, Kota Tinggi, Pengerang, dan seluruh Johor, jangan tunggu sehingga 12 Mac.


BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI 


InsyaAllah dengan peraturan yang ada dalam UMNO, kita berlapang dada untuk terima kembali mereka atas dasar pejuangan membela masyarakat Melayu,” katanya ketika sidang media pengumuman khas penyertaan Laili Yusof untuk kembali bersama BN di sebuah restoran di Endau pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut membuka ruang kembali terhadap bekas Ketua Bahagian Bersatu Mersing, Laili Yusof untuk kembali ke pangkuan BN.

Mengulas mengenai hasrat Laili untuk kembali berjuang di dalam BN, Ahmad Zahid merasakan ini sehubungan tanggapan bahawa BN satu parti yang terbaik untuk memperjuangkan masyarakat Melayu.

“Saya dengan besar hati, lapang dada dengan fikiran terbuka menerima kembali saudara Laili Yusof.

“Mereka disana (Bersatu) mungkin agar tersasar hala tujunya, tapi bila sudah kembali ke pangkal jalan (BN) maka Allah telah buka hati mereka.

“Mereka juga dah nampak kebenaran bahawa UMNO dan BN merupakan parti dan gabungan yang mampu memperjuangkan bukan saja orang Melayu malah seluruh rakyat Malaysia di Johor,” katanya lagi.

Terdahulu, Laili Yusof menerusi sidang media telah membuat pengumuman rasmi untuk kembali bersama jentera BN sekali gus menzahirkan sokongan terhadap calon-calon BN yang bertanding di Mersing.