PRN Johor: Projek perumahan di Mersing hanya 'mampu tengok'

Hilmi Malik
Februari 25, 2022 10:24 MYT
Harapan untuk memiliki rumah di sekitar Mersing dilihat tidak setanding dengan kawasannya yang kelihatan masih tidak membangun menurut penduduk yang ditemui. - Astro AWANI
MERSING : Isu kos perumahan di Mersing antara perkara yang menjadi benak fikiran dalam kalangan penduduk di kawasan itu setiap kali memikirkan hasrat untuk memiliki kediaman sendiri.
Melihat kepada faktor harga rumah di kawasan tersebut, impian penduduk juga untuk mempunyai aset sendiri seakan samar apabila harga jualan dianggap tidak sesuai dengan lokasinya.
Bukan setakat isu pembelian rumah malah harga sewaan rumah juga dikatakan telah melambong naik mengakibatkan ramai pihak yang terbeban khususnya golongan muda.
Harapan memiliki rumah sendiri semakin tipis apabila projek perumahan kos rendah juga tidak kelihatan rancak dibangunkan di sekitar Mersing.
Situasi itu juga menyebabkan penduduk yang mengharapkan projek perumahan mampu milik kini hanya bertukar seperti projek perumahan ‘mampu tengok’ sahaja.
Menurut salah seorang penduduk, Lim Chee Keong @ Pravind Lim, pembangunan rumah kos rendah sememangnya sudah lama tidak dibangunkan sebaliknya yang ada cuma projek perumahan golongan kayangan.
“Bagi yang nak beli rumah memang tak ada projek perumahan mampu bilik yang baharu, ada pun mampu tengok sahaja.
“Rumah yang ada pun harga antara RM700,000 hingga RM800,000 dah macam harga rumah di Kuala Lumpur tapi untuk kawasan kecil seperti di Mersing ini memang tak akan mampu, nak buat pinjaman pun tak lepas.
“Hakikatnya, ramai penduduk di Mersing memang tak mampu nak beli rumah disebabkan harga yang tidak sesuai dengan kawasan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Katanya lagi, perkara itu seharusnya menjadi perhatian kerajaan negeri mahupun di peringkat pusat akan situasi yang dialami penduduk sekitar.
Bahkan, harga dan kos sewaan rumah di Mersing juga dikatakan perkara yang memeranjatkan bagi pihak luar yang datang berkunjung ke Mersing.
Apa yang diharapkan agar wujudnya satu projek mega untuk membangunkan projek perumahan mampu milik bagi memastikan hasrat penduduk tertunai.
Sementara itu, keluhan sama disuarakan Azhar Datuk Zainal Abidin yang berpendapat jumlah projek perumahan kos rendah tidak selari dengan jumlah kepadatan penduduk di Mersing.
Buntu memikirkan nasib untuk memiliki rumah, akhirnya penduduk terpaksa memilih jalan untuk hanya menyewa berbanding bayaran untuk rumah sendiri.
“Ramai yang sudah ada keluarga besar tapi masih belum mampu untuk beli rumah sendiri termasuklah soal penduduk yang padat di Mersing.
“Ambil contoh anak muda sekalipun memang tak akan mampu nak ada rumah sendiri.
“Kalau 10 tahun pun mereka sewa rumah tersebut masih belum jadi milik mereka,” ujarnya.
#PRN Johor #projek perumahan #kos rendah #Johor Memilih
;