PRN Johor: PN tawarkan lapan tunjang utama sebagai ikrar
Muhammad Aiman Hakeem
Mac 2, 2022 17:19 MYT
Mac 2, 2022 17:19 MYT
JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) menawarkan lapan tunjang utama sebagai ikrar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menampilkan 24 strategi bagi menjamin kesejahteraan dan kestabilan negeri.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tunjang itu akan diperkasa menerusi 145 pendekatan bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada mendapat limpahan manfaat dalam pelbagai sektor ekonomi dan sosial.
Katanya, ikrar yang bertemakan ‘Demi Bangsa Johor’ itu menjadi manifesto untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.
"Perikatan Nasional telah menyediakan ikrar berteraskan lapan tunjang utama, berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 144 pendekatan.
"Perikatan Nasional telah merangka satu tawaran yang inklusif dan menyeluruh kepada seluruh rakyat Johor.
"Ini bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri ini dalam pelbagai sektor ekonomi dan sosial.
"Ikrar yang ditawarkan ini bukan retorik semata-mata. Ikrar ini adalah suatu komitmen yang realistik dan praktikal bahawa Kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak adalah sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan prihatin rakyat.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Pelancaran Ikrar Perikatan Nasional di Johor Bahru pada Rabu.
Menurut Muhyiddin, tunjang pertama yang digariskan dalam ikrar itu adalah mewujudkan kepimpinan yang berintegriti dan bebas rasuah.
Diikuti tunjang kedua membabitkan penekanan terhadap Keutuhan ekonomi yang merangkumi pelbagai bantuan khas.
Manakala tunjang ketiga akan memberikan keutamaan dalam menangani isu kos sara hidup; dan tunjang keempat membabitkan usaha memberikan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.
Tunjang seterusnya, melibatkan kesejahteraan sosial dengan memastikan pendidikan berkualiti disediakan buat komuniti di Johor; manakala tunjang keenam pula, PN akan meningkatkan kecekapan infrastruktur dan membekalkan perkhidmatan serba canggih.
Tunjang seterusnya adalah untuk merancakkan sektor pelancongan Johor dan tunjang terakhir yang digariskan melibatkan kelestarian alam sekitar dalam mendepani cabaran bencana alam.