PRN Johor: 'PN berpeluang cipta kemenangan' - Tuan Ibrahim
Muhafandi Muhamad
Mac 3, 2022 10:48 MYT
Mac 3, 2022 10:48 MYT
PASIR MAS: Hampir seminggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung, Pas membayangkan Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang untuk mencipta kemenangan.
Perkara itu disuarakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selepas melihat 'mood' sebahagian pengundi di negeri itu.
"Kempen berjalan lancar, tiada sangat apa. Yang bercanggah dengan peraturan cuma kita nampak satu dua kain rentang nakal yang akan diturunkan oleh pihak berkuasa.
"Tapi setakat ini perjalanan baik, pematuhan kepada SOP juga tinggi, dari segi sambutan kita jangka dan harap PN catat kejayaan berdasarkan respon daripada tinjauan kita buat positif," katanya.
Jelas Tuan Ibrahim, sepanjang kempen berlangsung setakat ini, sebahagian peraih undi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Suasana kempen juga sihat dengan tiada insiden yang menjejaskan perjalanan kempen.
Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan ada juga sepanduk dan kain rentang yang nakal dan mengundang provaksi yang mungkin bertentangan dengan peraturan.
Pun begitu, pihak berkuasa tempatan sentiasa memantau perjalanan kempen parti politik supaya mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).