PRN Johor: Platform terbaik untuk BN tampilkan lebih ramai calon wanita - Mastura

Astro Awani
Februari 7, 2022 11:38 MYT
Mastura berkata sejarah membuktikan bahawa UMNO telah bertindak merentasi zamannya dengan membuka ruang besar untuk kaum wanita turut terbabit dalam proses politik negara sejak sebelum merdeka. - Gambar FB Mastura Yazid
KUALA LUMPUR: Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Mastura Yazid mencadangkan agar UMNO dan Barisan Nasional (BN) menampilkan lebih ramai calon wanita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Mastura berkata penampilan lebih ramai calon wanita akan memberi nafas baharu kepada parti, tetapi juga sebagai satu keputusan yang strategik.
"Dianggarkan jumlah pengundi lelaki dan wanita dalam PRN Johor hampir sama. Berdasarkan daftar pemilih lalu jumlah pengundi lelaki ialah 912,121 dan pengundi wanita 937,463.
"Walaupun kini jumlah pengundi di Johor telah meningkat kepada sekitar 2.5 juta orang, saya percaya nisbah antara lelaki dan wanita adalah seimbang
"Dengan jumlah pengundi yang seimbang ini, memperuntukkan sekitar 30% calon PRN Johor dalam kalangan wanita bukan sesuatu yang terlalu besar untuk dipertimbangkan.
"Malahan, tanda aras 30 peratus calon wanita ini boleh memberi kelebihan kepada parti untuk mendapat sokongan wanita dan orang muda," katanya menerusi satu kenyataan.
Namun, Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu menegaskan pemilihan calon wanita haruslah berdasarkan merit dan kebolehan untuk menjadi wakil rakyat, bukannya sekadar kerana kedudukan dalam parti dan lobi politik.
Katanya, pemilihan calon-calon wanita untuk mewakili BN haruslah mencerminkan keupayaan dan kebolehan sebenar wanita negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berkata, pemilihan lebih ramai wanita sebagai calon akan memberi semangat yang lebih kepada jentera wanita bekerja.
"Sudah menjadi rahsia umum bahawa wanita Umno merupakan antara senjata parti yang paling ampuh dalam setiap kali pilihan raya.
"Biar sebesar mana isu dan cabaran, wanita Umno tetap meredah 'onak dan duri' berkempen dari rumah ke rumah dan merayu undi sehingga saat akhir," katanya lagi.
Mastura berkata sejarah membuktikan bahawa UMNO telah bertindak merentasi zamannya dengan membuka ruang besar untuk kaum wanita turut terbabit dalam proses politik negara sejak sebelum merdeka.
Katanya, nama-nama seperti Zainun Sulaiman (Ibu Zain), Khadijah Sidek, Tan Sri Fatimah Hashim, Tan Sri Aishah Ghani dan Tan Sri Rafidah Aziz adalah antara bukti kejayaan UMNO mengangkat kedudukan wanita dalam tradisi masyarakat Asia yang sejak zaman-berzaman memberi keutamaan kepada lelaki.
#Barisan Nasional #Mastura Yazid #PRN Johor #Wanita UMNO #calon wanita
;