PRN Johor: PKR umum calon Kempas dan Larkin, beri bayangan rundingan dengan Muda tidak menjadi

Firdaus Azil
Februari 14, 2022 14:04 MYT
Anwar telah mengumumkan calon PKR untuk lima kerusi, iaitu Larkin, Kempas, Bukit Batu, Tiram, dan Pasir Raja. - Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Pengumuman lima calon Parti Keadilan Rakyat untuk daerah Johor Selatan oleh Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi memberi bayangan bahawa rundingan dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak mencapai persetujuan yang diharapkan.
Terdahulu Anwar mengumumkan calon untuk lima kerusi, iaitu Larkin, Kempas, Bukit Batu, Tiram, dan Pasir Raja.
Tegas Pengerusi Pakatan Harapan itu lagi, tanggungjawab untuk menentukan calon parti yang layak, sambil dibayangi rundingan dengan parti-parti lain merupakan cabaran yang hebat, namun berjaya ditangani Pengerusi Keadilan Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dengan baik.
“Dan jentera ini harus tunjukkan kesetiaan kepada parti. Kita semua harus ada kerangka lebih besar, aspirasi, cita lebih murni, yang harus diperjuangkan.
“Sebab itu kali ini kita agak lebih berjaya, dan memutuskan nama calon jauh lebih awal. Supaya memungkinkan mereka bertugas. Tapi pengalaman saya dalam politik lama, sejak dalam Umno sampai dalam Keadilan. … (soal penentuan calon) itu memang masalah,” katanya lagi.
Anwar berkata, masalah akan timbul jika pengumuman dibuat terlalu awal, kerana ia mungkin menimbulkan rasa tidak puas dalam kalangan jentera, atau konflik dengan parti komponen lain.
Jika diumumkan terlampau lewat juga, kata Anwar lagi, akan mengundang masalah kerana mengganggu persiapan dan gerak kerja jentera pilihan raya di akar umbi.
Lima calon yang diumumkan ialah Ketua Wanita Keadilan Johor Napsiah Kamis Maharan untuk kerusi Kempas, Bendahari Cabang Keadilan Pasir Gudang Dr Zamil Najwah Arbain (Larkin), Setiausaha Cabang Keadilan Tebrau Chong Sen Sern (Bukit Batu), Naib Presiden Keadilan Johor Gopalakrishnan Subramaniam (Tiram), dan Setiausaha AMK Johor Mohd Fakhruddin Moslim (Pasir Raja).
Pengumuman tersebut sekali gus memberi bayangan bahawa parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman gagal mendapatkan dua daripada tiga kerusi yang diidamkan iaitu Larkin dan Kempas.
Napsiah sebelum ini melahirkan kekecewaan kerana kerusi DUN Puteri Wangsa telah diberikan oleh Parti Amanah Negara (Amanah) kepada Muda, biarpun jenteranya sudah membuat gerak kerja lebih awal kerusi tersebut.
Ahli perniagaan itu berkata, sebagai anak jati Tebrau, beliau percaya hanya Keadilan mampu memastikan kesejahteraan masyarakat di kerusi tersebut, namun berlapang dada membiarkan Amanah bertanding atas semangat setiakawan.
Sebelum ini media melaporkan Muda telah diberi enam kerusi oleh DAP dan Amanah, iaitu Tenang, Puteri Wangsa, Bukit Kepong, Machap, Parit Raja, dan Tenang.
PKR pula dilaporkan bersedia menawarkan tiga kerusi kepada Muda iaitu Sri Medan, Tanjung Surat, dan Semarang, namun ditolak Muda kerana ia bukan kerusi yang mudah untuk ditawan.
#PRN Johor #PKR #muda #Larkin #Kempas
;