PRN Johor: PH optimis mampu raih undi masyarakat Felda - Anwar
Shuhada Abdul Kadir
Mac 2, 2022 21:18 MYT
Mac 2, 2022 21:18 MYT
SEGAMAT: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Pakatan Harapan (PH) mampu mendapat sokongan masyarakat Felda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Beliau berkata, ia berdasarkan kepada penerimaan komuniti itu sepanjang tempoh lima hari berkempen sejak Sabtu lalu.
“(Sokongan Felda) sekarang ini saya tengok ada perubahan yang lebih meyakinkan kerana sekurang-kurangnya sekarang (jentera) boleh tembusi (masuk kawasan Felda).
“Kalau dahulu tidak boleh, contohnya tadi di Buloh Kasap pun saya tengok (jentera) boleh masuk dan disambut oleh masyarakat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan ceramah kelompok bersama calon PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Yoong Thau di Felda Medoi, di sini petang Rabu.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi PH menafikan dakwaan kononnya memasuki hari kelima berkempen, rentak pertarungan parti hanya menyaksikan pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Kalau tengok dari segi pergerakan PKR dan PH semua okey dan laporan yang diterima juga (jentera) bergerak seperti biasa, cuma mungkin parti kita tidak sekaya parti lain,” katanya.
Mengulas mengenai pelancaran manifesto dan calon menteri besar sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri jelasnya, perkara itu akan diputuskan dalam masa terdekat.
“Mesyuarat awal sudah ada, tetapi mesyuarat seterusnya kita belum tetapkan lagi dan kata putusnya akan dibuat masa terdekat,” katanya ringkas.