PRN Johor: PH buat 'post mortem' segera kaji silap dan kekurangan
Izlaily Nurul Ain Hussein
Mac 12, 2022 01:05 MYT
Mac 12, 2022 01:05 MYT
KULAI: Pakatan Harapan (PH) akan melakukan 'post mortem' dalam kadar segera bagi memastikan kelemahan, kekurangan dan kesilapan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dapat diperbaiki.
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, 'post mortem' itu tiada lain bagi membolehkan mereka kembali bangkit dengan segera dan seterusnya bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Beliau berkata, persiapan perlu dilakukan segera memandangkan UMNO-Barisan Nasional (BN) dilihat terlalu ghairah untuk mengadakan PRU15 secepat mungkin.
"Sudah tentu, PH pernah menjadi kerajaan dan sudah biasa juga dengan peranan sebagai pembangkang. Jadi, kami tidak putus asa.
"Kami akan terus berpegang kepada semangat setia kawan dalam usaha mengorak langkah mendapatkan kembali mandat rakyat.
"Kami akan teruskan usaha sebagai suara rakyat yang lantang membela bangsa Johor dengan memainkan peranan semak dan imbang," katanya ketika sidang media PH di Pusat Operasi PH dekat Senai di sini, malam tadi.
Turut serta dalam sidang media yang diadakan sempena keputusan PRN Johor adalah Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
Hadir sama ketika pertemuan pada malam kemuncak PRN Johor adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Sahalahuddin Ayub dan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar.
PRN Johor menyaksikan PH bersama rakan sekutunya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memperoleh kemenangan bagi 13 calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 57 calon yang dipertaruhkan.
DAP memenangi 10 kerusi, manakala PKR, Amanah dan MUDA masing-masing dengan satu kerusi.
Aminolhuda yang juga Pengerusi Amanah Johor berkata, keputusan dicapai PH bersama MUDA itu bukanlah satu perkara yang boleh dibanggakan.
"Namun kita perlu akui bahawa dengan situasi semasa, ia adalah keputusan yang boleh diterima walaupun perlu diperbaiki pada masa depan," jelasnya yang juga tewas di kerusi DUN Parit Yaani yang disandangnya sebelum ini.
Ditanya adakah isu perbalahan dalam pembahagian kerusi antara PKR dan MUDA sehingga DUN Larkin menyaksikan kedua-dua parti itu meletakkan calon menjadi faktor kepada kekalahan PH, Aminolhuda berkata "yang lepas biarlah lepas".
Beliau juga memberi respon yang sama apabila ditanya adakah soal penggunaan bendera yang tidak dicapai secara sepakat menjadi penyebab ramai pengundi berpaling daripada PH.
Aminolhuda berkata, PH sendiri tidak menjangka dengan keputusan diperoleh PH pada PRN Johor itu.
Pada masa sama, bekas Exco Johor itu berkata, BN perlu memberikan perkhidmatan sama seperti yang ditawarkan mereka dalam PRN Johor.
#Pakatan Harapan
#post mortem
#PH
#PRN Johor
#Johor Memilih
#pilihan raya negeri
#Aminolhuda Hassan
#Barisan Nasional