PRN Johor: Pertembungan lima penjuru di DUN Endau

Hilmi Malik
Februari 26, 2022 12:03 MYT
Muhammad Shahril Abd Gapar (kanan) memperkenalkan lima calon kerudi DUN Endau yang akan bertanding dalam PRN Johor pada hari penamaan calon yang berlangsung pada Sabtu. - Gambar Astro AWANI
MERSING: Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Endau bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru melibatkan penyertaan dari gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta calon Bebas yang muncul di saat akhir.
Calon-calon yang bakal berentap di DUN Endau terdiri daripada Mohd Youzaimi Yusof (BN); Alwiyah Talib (PN); Mohamad Fakrulradzi Mahmud (PH); Mohd Noorhisyam Ibrahim (Pejuang) dan Ismail Don (Bebas).
Terdahulu, Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya DUN Endau, Muhammad Shahril Abd Gapar menamatkan proses penamaan calon secara rasmi tepat pukul 10 pagi sebelum mengumumkan senarai calon yang sah bertanding.
Bagi calon BN, Mohd Youzaimi Yusof, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima borang pencalonan pada pukul 9.04 pagi bersama pihak pencadang dan penyokong.
Calon seterusnya merupakan parti Pejuang, Mohd Norhisyam Ibrahim yang menghantar borang pencalonan selang empat minit kemudian.
[LAPOR LANGSUNG] PRN Johor: Proses penamaan calon selesai
Sementara itu, calon bagi PN menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.17 pagi dan calon PH pula pada 9.15 pagi.
Calon yang muncul di saat akhir yang mewakili parti Bebas, Ismail Don menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.13 pagi.
Proses penamaan calon bagi DUN Endau hari ini berjalan lancar dengan tahap pematuhan SOP yang memuaskan termasuk kawalan ketat pihak berkuasa.
Sebelum ini, kerusi DUN Endau disandang oleh Alwiyah Talib yang menang atas tiket BN sebelum membuat keputusan untuk menyertai Bersatu.
Kerusi DUN Endau juga menyaksikan saingan sengit apabila BN turut bertekad untuk merampas semula kerusi terbabit.
Untuk rekod, Alwiyah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,080 undi membabitkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 lalu.
#PRN Johor #dun endau #pertandingan lima penjuru #Barisan Nasional
;