PRN Johor: Pertembungan 7 penjuru di DUN Kempas
Astro Awani
Februari 26, 2022 13:18 MYT
Februari 26, 2022 13:18 MYT
JOHOR BAHRU: Kehadiran tiga calon bebas menghantar borang pencalonan bagi bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas menyaksikan pertembungan tujuh penjuru di DUN terbabit.
Pengesahan penyertaan tujuh calon di kerusi DUN itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya (N47) Kempas, Zihan Ismail.
Calon yang mendapat perhatian di DUN Kempas adalah wakil parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Nornekman Osman, yang merupakan anak sulung kepada bekas penyandang kerusi DUN itu, Allahyarham Datuk Osman Sapian.
Nornekman, 47 tahun, adalah Timbalan Ketua Pejuang Johor.
Penyertaan Nornekman itu sekali gus menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ramlee Bohani yang dicalon semula di kerusi dun itu berentap dengan dua beranak terbabit masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan kali ini pada PRN Johor.
Ramlee yang juga Timbalan Ketua, UMNO Bahagian Pulai tewas kepada Osman dalam PRU14 pada 2018.
Selain mereka, Ketua Wanita Keadilan Johor, Napsiah Khamis Maharan yang mewakili Pakatan Harapan (PH) turut mendapat perhatian apabila menjadi satu-satunya calon wanita di kerusi DUN terbabit.
Pada masa sama, Perikatan Nasional (PN) pula mempertaruhkan Setiausaha Bersatu Bahagian Pulai, Nur Faizal Abdullah.
Melengkapkan pertembungan tujuh penjuru itu adalah tiga calon Bebas iaitu seorang guru sekolah antarabangsa, Mohd Azwan Abd Rahman, bekas Ketua Kampung Kempas, Mohd Hambali Munadi dan kontraktor, Mohd Suhimi A Rahman.